AM

Grab Malaysia Tampilkan Permata Kulinari Negara Bersempena Dengan TMM 2026

25/06/2026 01:39 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Seiring usaha memperkaya pengalaman pelancong bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026), Grab Malaysia (Grab) tampil memperkukuh peranannya sebagai rakan kulinari dan perjalanan dengan memudahkan pelancong meneroka warisan gastronomi, budaya dan pelbagai permata tersembunyi Malaysia melalui aplikasinya, Grab.

Pengarah Kanan Grab Malaysia Rashid Shukor berkata inisiatif yang dilaksanakan seperti 5-Star Eats Food Guide dan Pas Perjalanan Visit Malaysia 2026, menghimpunkan para peniaga, pencipta kandungan dan rakan kerjasama bagi mempromosikan keunikan Malaysia kepada khalayak tempatan dan antarabangsa.

“Tahun Melawat Malaysia 2026 merupakan peluang untuk menampilkan yang terbaik tentang Malaysia kepada dunia, dan kami mahu menyumbangkan kekuatan serta kepakaran kami ke arah merealisasikan matlamat bersama ini.

“Melalui GrabFood dan panduan 5-Star Eats, kami berhasrat memudahkan pelancong serta pengguna harian meneroka, dan menyokong rakan peniaga tempatan, sekali gus menikmati makanan dan budaya Malaysia dengan cara yang lebih mudah diakses dan tulen,” katanya dalam satu kenyataan.

Rashid berkata sama ada untuk menikmati kepelbagaian kulinari, meneroka mercu tanda budaya atau merancang perjalanan merentasi negara, Grab berperanan memudahkan pengalaman itu sambil mengangkat komuniti dan perniagaan tempatan yang menjadi nadi kepada keunikan Malaysia.

Menurut kenyataan Grab, 5-Star Eats merupakan panduan makanan dalam aplikasi di negara ini yang dikuasakan oleh jutaan penilaian dan ulasan sebenar pelanggan, sekali gus membantu pelancong mengenal pasti premis makanan yang mempunyai penarafan tinggi di seluruh negara. 

“Inisiatif ini menyerlahkan peniaga tempatan yang secara konsisten menawarkan kualiti dan perkhidmatan cemerlang, yang seterusnya diangkat sebagai duta warisan makanan Malaysia, sekali gus meningkatkan keterlihatan perusahaan kecil dan sederhana dalam landskap pelancongan gastronomi negara yang semakin berkembang.

“Antara premis makanan yang ditampilkan menerusi 5-Star Eats ialah Restoran Village Park di Petaling Jaya; Restoran Hameediyah di Kuala Lumpur; Restoran Mat Binjai di Kuala Terengganu; serta Borenos Fried Chicken dan A1 Chicken Rice di Kota Kinabalu,” katanya.

Sementara itu, meneruskan kejayaan Rakan Grab Jelajah ASEAN pada 2025, Grab sekali lagi berganding bahu dengan Shahril Hamdan menerusi platform kandungan KS Lagi! untuk melancarkan Rakan Grab Jelajah Malaysia, sebuah siri kandungan tiga bahagian yang dihasilkan bagi menyokong TMM 2026.

“Siri ini menghimpunkan rakan pemandu dan penghantar Grab dari Thailand, Vietnam dan Indonesia untuk meneroka Kuala Lumpur, Terengganu dan Sabah. Di sepanjang perjalanan, mereka mengalami tradisi, tempat-tempat menarik, cita rasa tempatan serta pengalaman budaya yang menjadikan setiap destinasi tersebut unik,” katanya.

Menurut Grab, fokus utama Rakan Grab Jelajah Malaysia ialah satu pengiktirafan kepada rakan pemandu dan rakan penghantar, antara individu paling arif tentang komuniti setempat mereka.

“Dengan mengangkat mereka sebagai duta budaya, Rakan Grab Jelajah Malaysia menonjolkan bagaimana pengetahuan tempatan, dan pengalaman peribadi mampu membantu pelawat menemui kisah, tempat dan tradisi yang mungkin tidak terdapat dalam buku panduan pelancongan.

Bagi melengkapkan usaha promosi itu, Grab berkata syarikat itu turut bekerjasama dengan pencipta kandungan tempatan Sofyank dan pasukannya untuk memaparkan keindahan, budaya dan pengalaman di negara ini, merentasi Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak kepada khalayak yang lebih luas.

Selain itu, Grab berkata Pas Perjalanan Visit Malaysia 2026 direka bagi membantu pelancong antarabangsa menjelajah seluruh negara dengan mudah menerusi akses kepada perkhidmatan mobiliti, penghantaran makanan dan pelbagai perkhidmatan digital yang ditawarkan Grab.

Rashid berkata Malaysia mempunyai keistimewaan berlandaskan kepelbagaian makanan, budaya dan keramahan rakyatnya, yang mampu memberikan pengalaman berbeza kepada pelawat dari seluruh dunia.

“Melalui peniaga, rakan kerjasama dan pencipta kandungan kami, kami berharap lebih ramai orang akan terdorong untuk meneroka dan menghargai keunikan Malaysia,” katanya. 

Episod baharu Rakan Grab Jelajah Malaysia berdurasi 10 minit akan tersedia bermula semalam, melalui platform media sosial Instagram dan Tiktok @grabmy. Sementara itu, video Sofyank boleh ditonton menerusi akaun Instagram dan TikTok @sofyank96 mulai 22 Jun.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan