KUCHING, 25 Jun (Bernama) -- Seorang mekanik yang merempuh sekatan jalan raya (SJR) dan melanggar pegawai polis bertugas di Jalan Padungan, dekat sini pada Sabtu lepas bakal berdepan pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata siasatan melibatkan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol masih berjalan dan polis akan memfailkan pertuduhan tambahan itu mengikut peruntukan Akta Pengangkutan Jalan sebaik sahaja keputusan laporan kimia diterima.
Selasa lepas, lelaki tempatan berusia 29 tahun itu dijatuhi hukuman penjara 27 bulan oleh Mahkamah Kuching atas kesalahan merempuh SJR dan melanggar seorang pegawai kanan polis ketika operasi cegah jenayah.
“Bukan sahaja bagi kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol malah suspek telah didakwa atas beberapa kesalahan lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, di sini hari ini.
Dalam kejadian awal pagi 20 Jun lepas, seorang pegawai kanan polis cedera di bahagian kaki selepas dilanggar seorang lelaki tempatan yang bertindak merempuh SJR di Jalan Padungan.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu dalam kenyataan berhubung kejadian itu, memaklumkan saringan awal air kencing mendapati lelaki itu juga positif dadah amphetamine, methamphetamine, ketamine dan benzodiazepine serta mempunyai enam rekod jenayah lampau atas pelbagai kesalahan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial