EKONOMI

Batik Air Lancar Perkhidmatan Terus Kuala Lumpur-Shanghai, Pacu Hubungan Dengan China

25/06/2026 04:40 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Batik Air melancarkan perkhidmatan terus baharunya antara Kuala Lumpur dan Shanghai, sekali gus mengukuhkan lagi kehadirannya di China. 

Menurut syarikat penerbangan itu, penerbangan sulung bagi laluan itu berlepas dari Kuala Lumpur pada 23 Jun 2026 dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong Shanghai pada pukul 1.20 pagi keesokan harinya, manakala penerbangan balik tiba di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 8.50 pagi pada 24 Jun 2026.

“Langkah memperkenalkan perkhidmatan Shanghai-Kuala Lumpur berlaku pada waktu yang sesuai iaitu ketika Malaysia meningkatkan usaha bersempena dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

“Inisiatif pelancongan negara menyasarkan ketibaan 43 juta pelancong pada 2026, dengan China kekal sebagai salah satu daripada sumber pasaran utama Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan. 

Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air Datuk Chandran Rama Muthy berkata laluan baharu itu bukan sekadar mempertingkatkan kesalinghubungan udara, malah berfungsi sebagai pemangkin kepada pertukaran ekonomi, pelancongan dan kebudayaan yang lebih kukuh antara Malaysia serta China. 

“Shanghai merupakan salah satu bandar paling dinamik dan berpengaruh di China, dan kami gembira untuk mengalu-alukan pelancongan dari pasaran penting ini ke Malaysia.

“Pelancaran perkhidmatan ini memperkukuhkan hubungan jangka panjang antara Malaysia dan China, sambil mewujudkan peluang yang lebih baik bagi pelancongan, perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara,” katanya. 

Chandran berkata laluan itu akan memainkan peranan penting dalam mempamerkan kepelbagaian pelancongan yang ditawarkan Malaysia bersempena dengan TMM2026, malah pelancong juga berpeluang berhubung dengan destinasi di seluruh negara menerusi rangkaian domestik Batik Air. 

“Kami kekal komited untuk menyokong aspirasi pelancongan Malaysia di samping menyediakan pilihan pelancongan yang selesa dan lancar bagi penumpang yang melancong antara China dan Malaysia,” katanya. 

Menurut Batik Air, pelancaran laluan Shanghai-Kuala Lumpur mengukuhkan lagi komitmennya untuk mengembangkan kesalinghubungan serantau dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pintu masuk penerbangan utama dalam rantau Asia Pasifik. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan