AM

MOSTI Rangka Inisiatif Strategik Perkasa New Space Economy

26/06/2026 12:06 AM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) merangka pelbagai inisiatif strategik untuk memperkukuh pembangunan bakat serta kepakaran tempatan dalam mendepani era ‘New Space Economy’ yang semakin kompetitif. 

Inisiatif tersebut digariskan menerusi Dasar Angkasa Negara 2030 (DAN2030), Pelan Tindakan Malaysia Space Exploration 2030 (MSE2030) dan Pelan Strategik Industri Angkasa 2030 (SISP2030). 

“Dalam mendepani era ‘New Space Economy’ yang semakin kompetitif, negara tidak boleh hanya bergantung kepada keupayaan teknologi dan infrastruktur angkasa semata-mata.

“Ia perlu didukung oleh modal insan yang berkemahiran tinggi bagi memacu pertumbuhan industri angkasa secara mampan selaras dengan DAN2030 yang menetapkan sasaran sumbangan sektor angkasa sekurangnya-kurangnya satu peratus kepada kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030,” menurut MOSTI menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Dewan Rakyat hari ini. 

MOSTI menyatakan fokus utama kerajaan dalam menghadapi persaingan global ini bukan sahaja tertumpu kepada perolehan aset angkasa, malah yang paling kritikal adalah membina, mengasah dan mengekalkan bakat serta kepakaran tempatan.

Antara usaha dan inisiatif yang sedang dilaksanakan adalah Pelaksanaan Projek Kerjasama Awam-Swasta (PPP); Inisiatif Industrial Technology Innovation Centre (ITIC); Program Penarafan Industri Angkasa; dan Pengukuhan Ekosistem TVET 2.0 dan Kerjasama Akademia-Industri.

“Secara keseluruhannya, inisiatif yang sedang dilaksanakan ini bukan sahaja meningkatkan keupayaan teknologi negara, malah menjadi pemacu utama dalam merealisasikan hasrat kerajaan untuk melahirkan 5,000 pakar dan tenaga kerja mahir menjelang 2030 dalam bidang angkasa,” tambah kementerian itu. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan