Oleh Anasathia Jenis
MUKAH, 27 Jun (Bernama) -- Siapa sangka keladi bunting yang suatu ketika dahulu menjadi ancaman kepada pergerakan pengangkutan di sepanjang Batang Oya di sini, kini menjadi sumber ekonomi baharu apabila dimanfaatkan sebagai bahan utama penghasilan baja organik menerusi teknologi lalat askar hitam atau Black Soldier Fly (BSF).
Penggunaan teknologi itu yang digabungkan dengan pemprosesan keladi bunting membuka lembaran baharu dalam penghasilan baja organik serta makanan ternakan, sekali gus mengubah tumbuhan akuatik yang sebelum ini dianggap sebagai perosak kepada sumber bernilai tinggi.
Inisiatif dilaksanakan di Pusat Pemprosesan Baja Organik dan Makanan Ternakan Dalat di Kampung Kekan itu bukan sahaja membantu mengawal lambakan keladi bunting, malah mewujudkan peluang ekonomi baharu kepada komuniti setempat melalui penghasilan produk berasaskan sumber tempatan.
Pengerusi Koperasi Dalat Lestari Berhad Muhammad Aznie Abdullah berkata projek berkenaan merupakan usaha bersepadu untuk memanfaatkan sumber yang kurang diberi perhatian, sebelum diproses menjadi produk bernilai tinggi.
“Lambakan keladi bunting atau teparok di Batang Oya, Dalat telah menjadi isu alam sekitar dan sosioekonomi serius kerana pertumbuhannya menghalang laluan pengangkutan sungai, menjejaskan ekosistem, meningkatkan kos pengurusan serta mengganggu aktiviti harian dan ekonomi masyarakat setempat.
“Melalui projek ini, tumbuhan ini tidak lagi dianggap sebagai sisa atau tumbuhan membawa masalah. Sebaliknya, menjadi bahan mentah penting dalam penghasilan baja organik dan makanan ternakan menggunakan teknologi BSF,” katanya ketika ditemui di pusat pemprosesan berkenaan pada program lawatan media Petronas, baru-baru ini.
Beliau berkata keladi bunting yang dikumpulkan dari kawasan sekitar terlebih dahulu dibersihkan dan dicincang sebelum dicampurkan dengan bahan organik lain untuk dijadikan makanan kepada larva BSF.
Katanya, larva BSF mempunyai keupayaan tinggi untuk menguraikan bahan organik dalam tempoh singkat, sekali gus menghasilkan sisa yang kaya dengan nutrien penting untuk tanaman.
“Hasil sampingan daripada proses ini ialah frass atau najis larva mengandungi unsur nitrogen, fosforus dan kalium yang diperlukan tanaman. Ia kemudian diproses menjadi baja organik berkualiti,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan ekonomi kitaran diterapkan menerusi projek tersebut membolehkan bahan yang sebelum ini tidak mempunyai nilai komersial ditukar kepada produk mendapat permintaan dalam pasaran.
Pada masa sama, larva BSF yang matang turut diproses menjadi sumber protein alternatif untuk makanan ternakan, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap bahan makanan ternakan import, katanya.
Muhammad Aznie berkata permintaan terhadap baja organik yang dihasilkan terus meningkat seiring dengan pertambahan pengusaha pertanian yang beralih kepada penggunaannya, berikutan kesedaran semakin tinggi terhadap amalan pertanian lestari dan mesra alam.
Sementara itu, seorang pekerja pusat pemprosesan berkenaan, Rina Asin, 53, berkata operasi harian di pusat itu melibatkan pelbagai peringkat termasuk pengumpulan bahan mentah, penyediaan makanan larva, pemantauan koloni BSF dan pemprosesan baja organik.
Rina berkata aspek kebersihan dan kawalan kualiti sentiasa diberi perhatian bagi memastikan produk dihasilkan memenuhi piawaian ditetapkan.
Menurut Rina, penduduk sekitar khususnya golongan wanita, turut mendapat manfaat daripada projek berkenaan apabila sebahagian daripada mereka terlibat dalam aktiviti mengumpul keladi bunting untuk dibekalkan ke pusat pemprosesan.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata idea projek itu mula diketengahkan kepada PETRONAS pada penghujung 2021 sebelum permohonan rasmi dikemukakan pada Februari 2022.
Fatimah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak berkata hasil kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak dan PETRONAS menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR), projek bernilai RM2.25 juta itu diluluskan pada 2023 dan dibangunkan di Kampung Kekan sebagai projek berasaskan komuniti.
Beliau berkata sebanyak 3,227 kilogram (kg) keladi bunting berjaya dikutip sebagai bahan mentah untuk penghasilan baja organik dengan bayaran 40 sen bagi setiap kilogram diberikan kepada mereka yang mengutip tumbuhan itu setakat ini.
“Sebanyak 804 kg baja organik dihasilkan pada tahun lepas dengan hasil jualan berjumlah RM2,400 manakala bagi tahun ini, sebanyak 676 kg baja telah dihasilkan setakat ini dengan nilai jualan mencecah RM2,119,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial