DUNIA

Peru Sasar Tingkat Hubungan Dengan Malaysia Sempena Ulang Tahun Ke-40 Hubungan Diplomatik

27/06/2026 10:19 AM

Oleh Christine Lim

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Peru berhasrat memperkukuh hubungannya dengan Malaysia menerusi peluasan kerjasama dalam sektor pertumbuhan strategik sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara tahun ini.

Duta Peru ke Malaysia Ricardo Estanislao Morote Canales berkata walaupun hubungan dua hala berkembang secara konsisten sepanjang empat dekad lalu, masih terdapat banyak potensi yang belum diterokai untuk memperkukuh kerjasama.

Beliau berkata bidang berpotensi itu termasuk inovasi pertanian, keterjaminan makanan, tenaga bersih, hidrogen, pelancongan, pendidikan, biodiversiti serta pemuliharaan hutan tropika.

"Hubungan antara Malaysia dan Peru berkembang dengan ketara sejak lawatan pertama Presiden Peru, Alberto Fujimori, ke Malaysia pada 1996.

"Hubungan ini akan terus berkembang maju, sekali gus mewujudkan peluang baharu dan manfaat yang lebih besar kepada rakyat kedua-dua negara," katanya kepada Bernama dalam temu bual sempena ulang tahun hubungan diplomatik itu.

Morote berkata pertukaran lawatan peringkat tinggi antara Fujimori dan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi asas kukuh kepada kepercayaan dan kerjasama antara kedua-dua negara. 

Beliau berkata ia turut dizahirkan menerusi sokongan Malaysia terhadap penyertaan Peru dalam forum Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) pada 1998.

 

Dorongan Perkukuh Hubungan

 

Hubungan Kuala Lumpur dan Lima terus diperkukuh di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan lawatan beliau ke negara Amerika Latin itu bagi menghadiri Mesyuarat Pemimpin APEC pada 2024.

Lawatan itu membuka laluan kepada kedua-dua negara untuk mengambil langkah konkrit dalam memperkukuh kerjasama.

"Lawatan rasmi Anwar ke Peru pada November 2024 menandakan detik penting dalam hubungan kedua-dua negara, sekali gus menegaskan kekuatan perkongsian kita serta iltizam bersama untuk meningkatkan kerjasama dua hala ke tahap lebih tinggi," kata Morote.

Beliau berkata semasa lawatan itu, Peru dan Malaysia menerima pakai Deklarasi Bersama yang menjadi hala tuju hubungan kedua-dua negara pada masa depan.

"Deklarasi itu menggariskan visi bersama untuk memperluas perdagangan dan pelaburan, memperkukuh kerjasama ekonomi serta teknikal, di samping menggalakkan kerjasama dalam pelbagai sektor strategik yang berkepentingan bersama.

"Ia mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk membentuk perkongsian yang lebih berdaya tahan, dinamik dan saling menguntungkan, serta mampu menghadapi cabaran dan merebut peluang dalam dunia yang semakin saling berhubung," kata beliau. 

Kedua-dua negara turut memeterai beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) meliputi kerjasama dalam bidang halal, pertanian, gastronomi dan hospitaliti.

MoU dalam bidang pertanian telah memudah cara pelaksanaan beberapa projek bersama termasuk penanaman varieti cili dan tomato tempatan serta Peru, selain inisiatif kacukan baka lembu di Malaysia.

Morote turut menyuarakan keyakinan bahawa Presiden Peru akan mengadakan lawatan ke Malaysia dalam masa terdekat, sambil menyatakan bahawa lawatan peringkat tinggi itu akan menjadi peluang penting untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala, memperkukuh dialog politik serta memperluas kerjasama dalam bidang yang berkepentingan bersama.

 

CPTPP Pacu Momentum Perdagangan

 

Beliau berkata pada masa depan, Peru dan Malaysia mempunyai peluang besar untuk memperkukuh hubungan ekonomi dengan memanfaatkan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

"Sejak CPTPP mula berkuat kuasa bagi Peru pada September 2021 dan Malaysia pada November 2022, perdagangan dua hala terus mencatat pertumbuhan yang mampan," katanya.

Pada 2025, nilai perdagangan antara kedua-dua negara mencecah US$526 juta, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai rakan dagang kesembilan terbesar Peru di Asia.

Morote berkata eksport Peru ke Malaysia berjumlah US$357.15 juta pada 2025, meningkat 32.84 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Import dari Malaysia pula berjumlah kira-kira US$168.85 juta pada 2025, yang sebahagian besarnya terdiri daripada produk pembuatan dan berasaskan teknologi.

"Selain itu, peluang turut terbuka kepada eksport buah-buahan bernilai tinggi seperti avokado, mangga dan delima, sekali gus mencerminkan kepelbagaian eksport Peru yang semakin berkembang di pasaran Malaysia," kata beliau. 

Morote berkata Malaysia turut mempamerkan minat untuk mewujudkan Zon Ekonomi Halal Khusus Malaysia-Peru di Pelabuhan Chancay, berhampiran Lima, yang akan menjadi pintu masuk strategik bagi memperluas kehadiran komersial serta jaringan perniagaan Malaysia di seluruh Amerika Latin.

Malaysia dan Peru menjalinkan hubungan diplomatik secara rasmi pada 24 April 1986 dengan Peru membuka kedutaannya di Kuala Lumpur pada 1992, diikuti Malaysia yang menubuhkan kedutaannya di Lima pada 1996.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan