AM

PRN Johor: Pesara Sanggup Berbelanja Lebih RM500, Rentas Negeri Demi Sokong Onn Hafiz

27/06/2026 12:29 PM

KLUANG, 27 Jun (Bernama) -- Faktor usia dan perjalanan merentas negeri bukan penghalang bagi seorang warga emas dari Selangor untuk turun padang menzahirkan sokongan kepada kepimpinan Barisan Nasional (BN) pada proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hari ini.

Kehadiran Alias Samad, 68, di pekarangan pusat penamaan calon di Dewan Muafakat Majlis Daerah Simpang Renggam di sini seawal 7 pagi mencuri perhatian orang ramai dan pengamal media apabila beliau tampil dengan busana unik yang melambangkan kesetiaan mendalamnya terhadap parti itu.

Pesara kerajaan itu mengenakan busana khas berwarna putih dan biru yang dihiasi lambang dacing BN dan bendera Selangor serta dilengkapi dengan penutup kepala tinggi seakan topi chef.

Bapa kepada 12 cahaya mata yang berasal dari Kampung Asam Jaya, Klang, itu berkata beliau membelanjakan sekitar RM50 untuk upah tukang jahit dan kira-kira RM500 bagi menampung kos perbelanjaan untuk datang menyokong Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“Saya memang berazam nak berkempen untuk Onn Hafiz pasal beliau ada datang berkempen di tempat saya di Sungai Tawar (Sabak Bernam), jadi di sinilah saya tergerak hati untuk datang berkempen memberikan sokongan,” katanya.

Menteri Besar Johor itu akan berdepan saingan satu lawan satu bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Penyandang DUN itu akan ditentang oleh Nor Hafiz Roslan daripada Pakatan Harapan (PH).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 11 Julai ini manakala 7 Julai sebagai hari pengundian awal.

Bagi mendapatkan berita terkini tentang PRN Johor ke-16, sila layari https://prn.bernama.com/johor/.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan