AM

Tribunal Antibuli Pertama Di Dunia Bukti Kerajaan MADANI Serius Tangani Buli - Azalina

27/06/2026 04:08 PM

KOTA TINGGI, 27 Jun (Bernama) -- Malaysia melakar sejarah apabila muncul sebagai negara pertama di dunia menubuhkan Tribunal Antibuli sebagai mekanisme khusus dan efektif bagi menangani isu buli secara menyeluruh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata penubuhan tribunal itu mencerminkan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam memastikan amalan buli tidak berkembang menjadi budaya dalam masyarakat.

“Negara lain tidak mempunyai tribunal seperti ini... tribunal gangguan seksual memang ada tetapi Tribunal Antibuli belum pernah diwujudkan.

“Kerajaan MADANI menyedari bahawa kita tidak boleh membenarkan budaya buli berleluasa. Sebab itu kita mewujudkan tribunal ini sebagai pendekatan yang lebih sesuai untuk menangani kes melibatkan kanak-kanak dan remaja,” katanya kepada Bernama selepas Program Literasi Antibuli Negeri Johor di sini hari ini.

Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata penubuhan badan kuasi-kehakiman itu bertujuan mengatasi cabaran sistemik dalam pengendalian kes buli sivil di mahkamah biasa yang kadangkala mengambil masa sehingga sembilan tahun untuk diselesaikan.

Beliau berkata Akta Antibuli 2026 (Akta 876) digubal berteraskan pendekatan restoratif yang bukan sahaja memberi perlindungan dan pemulihan kepada mangsa, malah mengambil kira faktor latar belakang pelaku yang mungkin berdepan isu persekitaran tertentu.

“Kadangkala pelaku dan mangsa mempunyai latar belakang serta masalah tertentu, termasuk isu keluarga. Jadi, kita mahu mengimbangi kepentingan kedua-dua pihak tanpa mengabaikan keperluan untuk mengambil tindakan terhadap perlakuan buli," katanya.

Mengenai buli siber, Azalina berkata tribunal berkenaan akan menilai setiap kes yang dirujuk termasuk permohonan berkaitan kandungan dalam talian berdasarkan fakta dan peruntukan undang-undang yang ditetapkan.

Azalina berkata Akta Antibuli 2026 dan Tribunal Antibuli kini telah berkuat kuasa secara rasmi mulai 16 Jun lepas dan terpakai kepada individu berumur 18 tahun ke bawah. 

Bagaimanapun, katanya kerajaan akan terus menilai keperluan untuk memperluas skop pelaksanaannya pada masa hadapan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan