DUNIA

Dua Maut, Taiwan Keluarkan Amaran Hujan Lebat Baharu Susulan Banjir Besar

27/06/2026 05:43 PM

ISTANBUL, 27 Jun (Bernama-Anadolu) -- Taiwan mengeluarkan amaran hujan lebat baharu  pada lewat Jumaat susulan hujan lebat yang mengorbankan sekurang-kurangnya dua nyawa dan mencetuskan banjir besar di seluruh pulau itu, lapor Anadolu Ajansi (AA) dengan memetik media tempatan.

Pentadbiran Cuaca Pusat mengeluarkan amaran hujan lebat dan hujan sangat lebat bagi Kaunti Yunlin, yang dijangka menerima taburan hujan melebihi 200 milimeter dalam tempoh 24 jam atau 100 milimeter dalam tempoh tiga jam, menurut portal berita Focus Taiwan.

Amaran hujan lebat turut kekal berkuat kuasa di beberapa kawasan di tengah, selatan, timur dan utara Taiwan, termasuk Taichung, Tainan, Kaohsiung dan Taipei, dengan hujan dijangka beransur reda lewat Sabtu.

Amaran itu dikeluarkan selepas beberapa hari cuaca buruk yang mengakibatkan banjir besar.

Pihak berkuasa tempatan memaklumkan sebanyak 487 insiden banjir direkodkan di seluruh pulau itu sejak Khamis, dengan 74 kawasan masih ditenggelami air setakat Jumaat.

Pegawai menggesa penduduk di kawasan terjejas supaya terus berwaspada berikutan risiko banjir kilat, tanah runtuh dan bahaya lain berkaitan cuaca masih tinggi meskipun ramalan menunjukkan keadaan dijangka bertambah baik kemudian.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan