POLITIK

PRN Johor: Parti Bertanding Taruh Keyakinan Gabungan Muka Lama Dan Baharu Untuk Menang

27/06/2026 06:54 PM

JOHOR BAHRU, 27 Jun (Bernama) -- Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 menyaksikan parti-parti politik mempertaruhkan gabungan calon berpengalaman dan wajah baharu bagi menghadapi persaingan merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan proses penamaan calon hari ini melengkapkan senarai akhir yang bertanding.

Sebahagian besar calon yang dipilih dilihat terdiri daripada penyandang dan individu yang pernah bertanding sebelum ini, mencerminkan keyakinan parti terhadap pengalaman serta pengaruh mereka di peringkat akar umbi.

Barisan Nasional (BN) menampilkan 36 calon UMNO, 16 calon MCA serta empat calon MIC terdiri daripada 36 calon lama termasuk penyandang serta 20 lagi calon baharu.

Pengerusi BN Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga Menteri Besar Johor akan mempertahankan kerusi DUN Machap dan sembilan daripada 10 bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bertanding pada PRN 2022 juga dikekalkan sebagai calon.

Ketua Puteri UMNO Bahagian Ledang Nadhirah Afiqah Abdull Rahim pula membuat penampilan sulung sebagai calon DUN Serom apabila Khairin-Nisa Ismail @ Md On yang sebelum ini merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor tidak dicalonkan semula bagi kerusi DUN itu.

Antara nama yang turut mencuri tumpuan ialah bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba yang membuat kemunculan semula sebagai calon DUN Pasir Raja.

Adham yang juga Ketua UMNO Bahagian Tenggara pernah menyandang kerusi DUN Pasir Raja selama dua penggal dari 2008 hingga 2018, selain menjadi Ahli Parlimen Tenggara selama dua penggal dari 2004 hingga 2008 serta 2018 hingga 2022.

BN juga membuat kejutan apabila penyandang kerusi DUN Endau Alwiyah Talib yang kembali menyertai UMNO pada 4 Jun lepas diumum sebagai calon bagi mempertahankan kerusi itu, selain mempertaruhkan Setiausaha Kerja UMNO Malaysia Datuk Mohd Sumali Reduan untuk mempertahankan kerusi DUN Benut.

Pakatan Harapan (PH) menampilkan gabungan muka baharu dan pemimpin berpengalaman daripada parti komponen iaitu PKR, DAP dan Amanah. 

Antara yang mencuri tumpuan ialah bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik yang diumumkan sebagai calon DUN Puteri Wangsa selain membariskan dua Ahli Parlimen iaitu Suhaizan Kaiat (Pulai) bagi kerusi Larkin serta Ahli Parlimen Batu Pahat Onn Abu Bakar di Senggarang.

Setiausaha Sulit Timbalan Menteri Kewangan Nor Zulaila Abd Ghani dipertaruhkan bertanding di kerusi DUN Tiram, manakala Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Johor Lee Wern Yiing pula akan bertanding di Johor Jaya.

Sementara itu, pembantu khas Ahli Parlimen Kulai Mohamad Shafwan Ani diletakkan bertanding di DUN Bukit Permai, manakala bekas penyandang DUN Senai Wong Bor Yang, 40, diberi kepercayaan mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN kali ini.

Perikatan Nasional (PN) yang diwakili PAS akan bertanding di 11 kerusi DUN, Bersatu (16), Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) (lima) manakala Pejuang satu kerusi. 

PN menyaksikan beberapa bekas pemimpin termasuk bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Rashid Hasnon di kerusi DUN Senggarang dan bekas Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal di Bukit Kepong.

Antara calon termuda yang diketengahkan ialah Hasnol Hakim, 30, yang bertanding di kerusi DUN Endau, manakala Mohamad Anuar Hayan pula dipertaruhkan untuk mempertahankan kerusi DUN Maharani yang merupakan satu-satunya kerusi dimenangi parti PAS pada PRN Johor 2022.

PRN kali ini juga menyaksikan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) buat julung kalinya bertanding di lima kerusi iaitu di Bukit Permai, Paloh, Kota Iskandar, Pemanis dan Permas manakala calon tunggal Pejuang, Ketua Penerangan Pejuang Johor yang juga anak tempatan Suraya Sulaiman akan bertanding di kerusi DUN Gambir.

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang bertanding empat kerusi pula menampilkan Rashifah Aljunied, 27, sebagai calon DUN Puteri Wangsa, yang sebelum ini disandang Presidennya, Amira Aisya.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Orang Asli Malaysia (Asli) masing-masing mempertaruhkan calon tunggal iaitu Amir Syafiq Ameer Soekre bagi DUN Skudai dan Jati Awang bagi kerusi DUN Endau.

PH dan BN merupakan gabungan parti yang meletakkan calon di kesemua 56 kerusi DUN, sekali gus memperlihatkan persaingan antara kedua-dua pihak dalam PRN kali ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 11 Julai selepas DUN dibubarkan pada 1 Jun lepas.

Bagi mendapatkan berita terkini tentang PRN Johor ke-16, sila layari https://prn.bernama.com/johor/ .

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan