Oleh Zarul Effendi Razali
KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Usaha Malaysia memperkukuh hubungan dengan Rusia bukan menandakan peralihan dasar luar negara, sebaliknya menegaskan semula komitmen Malaysia sejak sekian lama terhadap autonomi strategik dan Kepusatan ASEAN, kata seorang ahli akademik.
Pensyarah Kanan Fakulti Undang-undang dan Tadbir Urus di Taylor's University Dr Julia Roknifard berkata gesaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Malaysia lebih berani dan agresif dalam memperkukuh hubungan dengan Rusia perlu dilihat sebagai kesinambungan dasar luar Malaysia yang berkecuali dan bebas.
"Saya tidak fikir ia satu anjakan paradigma, sebaliknya lebih kepada penegasan semula dasar yang sejak sekian lama diamalkan mengenai autonomi strategik atau sekurang-kurangnya aspirasi untuk mengekalkan autonomi strategik, baik dalam Malaysia sendiri mahupun dalam ASEAN secara amnya," katanya.
Bercakap dalam program The Nation terbitan Bernama TV baru-baru ini, Roknifard berkata Malaysia secara konsisten memilih untuk kekal berkecuali berbanding berpihak kepada mana-mana blok kuasa besar, manakala tumpuan Rusia ke Asia mewujudkan peluang baharu untuk penglibatan dengan ASEAN.
Beliau berkata Rusia, yang berdepan peningkatan kebergantungan ekonomi terhadap China susulan konflik Ukraine, turut berusaha mempelbagaikan perkongsian dalam bidang perdagangan dan politiknya, dengan Malaysia muncul sebagai antara pintu masuknya ke ASEAN.
Mengenai perdagangan dua hala, Roknifard mengingatkan supaya tidak hanya memberi tumpuan kepada pertumbuhan peratusan semata-mata, kerana jumlah keseluruhan perdagangan antara Rusia dan ASEAN masih agak kecil berbanding perdagangan Rusia dengan China dan negara jirannya, Belarus.
"Memang sangat baik apabila mereka bercakap mengenai perdagangan dan (pertumbuhan) peratusan... namun kita perlu melihat terlebih dahulu apakah asas perbandingannya dengan peningkatan yang dicatatkan, dan saya fikir perdana menteri juga menyatakan bahawa kita perlu berlaku jujur kerana interaksi perdagangan kita masih agak kecil jika dibandingkan," katanya.
Beliau berkata bidang utama yang mempunyai potensi belum diterokai, termasuk pembuatan termaju, tenaga, pertanian, farmaseutikal dan teknologi pertahanan tertentu, khususnya dron, sistem antidron, teknologi pengawasan dan sistem radar.
Mengulas perbincangan untuk memperluas perdagangan menggunakan ringgit dan rubel Rusia, Roknifard berkata cadangan itu praktikal sebagai sebahagian daripada usaha lebih luas untuk mempelbagaikan sistem pembayaran, meskipun sekatan dan kecairan rubel yang terhad masih menjadi cabaran.
Beliau menambah mekanisme pembayaran alternatif seperti Sistem Pembayaran Antara Bank Rentas Sempadan China (CIPS) boleh membantu memudahkan transaksi.
Mengenai tawaran Rusia untuk menjamin bekalan petroleum, minyak dan gas jangka panjang, Roknifard berkata langkah itu dibuat ketika negara-negara ASEAN semakin bimbang terhadap keselamatan tenaga susulan ketegangan baru-baru ini di sekitar Selat Hormuz.
"Jadi, memastikan kestabilan dalam pasaran itu amat penting bagi ASEAN dan saya fikir semua anggota sangat berminat terhadap perkara itu," katanya sambil menyatakan kehadiran pemimpin ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia baru-baru ini mencerminkan tumpuan rantau itu yang semakin meningkat terhadap keselamatan tenaga.
Roknifard turut menyambut baik kerjasama lebih erat antara Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan syarikat tenaga gergasi Rusia, Rosneft, dengan menyatakan perkongsian di peringkat korporat mampu bertahan walaupun berlaku perubahan kepimpinan politik dan memberikan kesinambungan lebih kukuh dalam kerjasama dua hala.
"Saya fikir ia adalah langkah yang sangat baik... dalam apa jua bidang yang mereka putuskan untuk bekerjasama, interaksi korporat ini cenderung bertahan lebih lama daripada mana-mana kerajaan yang memerintah. Jadi, itu menjamin kita beberapa bentuk kesinambungan melangkaui perdana menteri semasa," katanya.
Beliau berkata kerjasama dalam kecerdasan buatan, keselamatan siber, pertanian termaju dan farmaseutikal juga boleh memperkukuh keupayaan teknologi Malaysia, selain menyokong keselamatan makanan dan daya tahan rantaian bekalan, sambil menambah kepakaran Rusia dalam bidang pertanian dan pengeluaran baja boleh menjadi bernilai ketika berlaku gangguan pada masa depan.
Roknifard berkata penglibatan lebih mendalam dengan Rusia akhirnya memperkukuh kepusatan ASEAN dengan memberi negara anggota lebih fleksibiliti untuk mengejar kepentingan nasional masing-masing sambil mengimbangi hubungan dengan semua kuasa besar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial