Oleh Nur Atiq Maisarah Suhaimi
KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Selepas lebih 25 tahun mengajar ekonomi dan perniagaan, Dr Janitha Nadarajah menyedari bahawa penguasaan teori ekonomi tidak memadai dengan hanya bergantung kepada nota kuliah dan buku teks.
Pencarian berterusannya terhadap kaedah pembelajaran yang lebih berkesan akhirnya membawa kepada penghasilan US Econopoly, sebuah permainan papan interaktif yang mengubah konsep ekonomi kepada pengalaman pembelajaran dunia sebenar.
Pensyarah ekonomi dan perniagaan di bawah Program Pemindahan Ijazah Amerika (American Degree Transfer Programme) (ADTP) di Sunway University itu berkata permainan berkenaan direka bagi membantu pelajar memahami konsep mikroekonomi, makroekonomi dan literasi kewangan menerusi simulasi berdasarkan model ekonomi Amerika Syarikat (AS).
Mengambil inspirasi daripada permainan papan popular Monopoly, Janitha berkata US Econopoly tampil dengan pendekatan berbeza apabila menggabungkan elemen ekonomi sebenar seperti hartanah dan pasaran saham yang dipetakan mengikut negeri-negeri di AS berdasarkan nilai pasaran tahun 2025.
"Selain itu, permainan ini turut merangkumi pelbagai elemen ekonomi seperti inflasi, pengangguran, dividen, bon, tarif dan pinjaman bank.
"Permainan papan ini ada banyak ciri-ciri ekonomi dan saya sesuaikan mengikut kelas," katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
US Econopoly boleh dimainkan oleh enam hingga tujuh pelajar, dengan seorang bertindak sebagai pegawai bank dan direka khusus untuk memudahkan pelajar memahami konsep ekonomi melalui pendekatan yang lebih interaktif dan mudah difahami.
Janitha berkata idea menghasilkan permainan papan itu tercetus selepas beliau menyertai program biasiswa Study of the United States Institutes (SUSI) Scholar tajaan kerajaan AS selama enam minggu di Boston, New York dan Washington tahun lalu.
Sekembalinya ke tanah air, beliau menyiapkan projek itu dalam tempoh kira-kira tiga bulan bermula Januari hasil pembiayaan geran khas yang disediakan kepada alumni program berkenaan.
Berbeza daripada permainan papan hartanah konvensional, US Econopoly memberi penekanan kepada proses membuat keputusan kewangan.
Sepanjang permainan, peserta perlu membeli aset, melabur dalam saham serta mengurus risiko sebelum melihat sendiri bagaimana setiap keputusan ekonomi mempengaruhi kedudukan kewangan mereka.
Pada penghujung permainan, setiap pemain perlu mengira jumlah kekayaan yang berjaya dikumpulkan berdasarkan wang tunai, nilai hartanah dan pegangan saham.
"Jika seseorang pemain lebih memberi tumpuan kepada pembelian hartanah, mereka dianggap sebagai pelabur jangka panjang yang lebih konservatif. Sebaliknya, jika lebih banyak melabur dalam saham, mereka merupakan pelabur jangka pendek yang sanggup mengambil risiko lebih tinggi," katanya.
Permainan interaktif itu turut didedikasikan sempena sambutan ulang tahun ke-250 Amerika Syarikat atau Freedom 250, sekali gus menyokong visi America 250 dalam memupuk kefahaman sivik serta meningkatkan kesedaran sejarah menerusi pembelajaran berasaskan pengalaman.
Walaupun berhasrat mengekalkan US Econopoly sebagai bahan pembelajaran dan kini sedang dalam proses mendapatkan perlindungan hak cipta, Janitha berkata beliau terbuka untuk menjalin kerjasama dengan syarikat korporat bagi memperluas penggunaan permainan itu, termasuk menyesuaikannya dengan konteks ekonomi Malaysia.
"Saya sentiasa terbuka kepada kerjasama. Jika ada syarikat yang berminat menaja projek ini, kita boleh membangunkan versi yang disesuaikan dengan ekonomi Malaysia atau bekerjasama dengan organisasi seperti Bursa Malaysia bagi mengajar literasi pasaran saham dalam kalangan pelajar," katanya.
Beliau turut merancang menghasilkan sebuah lagi permainan papan yang memfokuskan perniagaan global dan ekonomi antarabangsa, termasuk aspek pembelian hartanah serta francais di luar negara.
Sementara itu, pendekatan pembelajaran secara praktikal dan interaktif menerusi permainan papan pendidikan itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pelajar, yang menyifatkan US Econopoly sebagai medium berkesan untuk menterjemahkan teori ekonomi yang kompleks kepada aplikasi dunia sebenar.
Bagi pelajar ADTP dalam jurusan Pengurusan Perniagaan, Kavin Parhar, 18, permainan itu memberi pendedahan secara langsung mengenai cara mengurus modal yang terhad serta membuat keputusan kewangan dalam situasi sebenar.
"Ia memang menyeronokkan kerana membuatkan kami berfikir tentang cara mengurus wang dengan lebih bijak memandangkan setiap pemain hanya diberikan modal permulaan sebanyak 1,500.
"Keadaan itu memaksa kami membuat keputusan kewangan secara berhati-hati dan saya percaya pengalaman ini boleh diaplikasikan dalam kehidupan sebenar.
"Saya juga yakin permainan papan ini membantu saya memperoleh keputusan yang lebih baik dalam peperiksaan ekonomi kerana ia memudahkan saya memahami konsep yang dipelajari di dalam kelas," katanya.
Seorang lagi pelajar ADTP dalam jurusan Ekonomi, Philip Yip, 19, yang mengikuti kelas Janitha selama lima semester berkata interaksi secara langsung dengan konsep ekonomi melalui permainan itu membantu pelajar mengingati dan memahami kandungan pembelajaran dengan lebih berkesan berbanding kaedah pembelajaran secara pasif.
"Ia bukan sekadar permainan, malah memperkenalkan kami kepada asas-asas ekonomi seperti bon, cara membeli hartanah serta melabur dalam saham syarikat-syarikat besar dan syarikat multinasional.
"Banyak perkara yang kami pelajari sepanjang permainan ini.
"Pada pendapat saya, permainan ini sangat menarik. Walaupun konsepnya hampir sama dengan beberapa permainan papan lain, ia antara yang terbaik pernah saya mainkan kerana kami bukan sekadar mempelajari teori, sebaliknya dapat berinteraksi sendiri dengan konsep yang dipelajari.
"Pendekatan ini memudahkan pelajar memahami konsep ekonomi dengan lebih mendalam dan bagi saya sendiri, ia banyak membantu," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial