PASIR PUTEH, 28 Jun (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menahan lapan warga Myanmar termasuk tiga wanita selepas didapati memasuki negara ini secara tidak sah di tebing sungai Kampung Kutan Hilir, Tumpat, Rabu lepas.
Pengarah APMM Kelantan Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata kesemua mereka ditahan kira-kira 12.20 tengah malam dan berumur antara 18 hingga 51 tahun.
"Pada 11.47 malam, APMM membuat rondaan di sekitar perairan Sungai Kelantan dan mendapati sebuah bot dalam keadaan bergelap dan mencurigakan serta bergerak laju menghala ke Kota Bharu, namun keadaan air yang cetek menyebabkan bot yang disyaki berjaya meloloskan diri.
"Pasukan kemudiannya meneruskan pencarian dan pada 12.20 tengah malam berjaya mengesan sebuah bot merapat ke tebing sungai dan menurunkan penumpang di lokasi terbabit sebelum meninggalkan tempat kejadian setelah menyedari kehadiran kami," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat APMM, di sini hari ini.
Beliau berkata beberapa anggota mula membuat pencarian di kawasan berdekatan dan menemukan lapan individu yang menyorok di dalam semak disyaki sebagai pendatang tanpa izin.
"Hasil pemeriksaan awal mendapati kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah serta dipercayai memasuki negara ini tanpa melalui pintu masuk yang diwartakan.
"Kesemua suspek disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta lmigresen 1959/63 dan telah ditahan bagi siasatan lanjut," katanya.
Dalam pada itu, Kamal berkata hingga Jun tahun ini, APMM mencatat tiga kes sama membabitkan warga Myanmar yang memasuki Malaysia menggunakan Sungai Kelantan.
"Kelantan menjadi negeri transit sebelum pendatang tanpa izin ini ke negeri lain untuk bekerja. Kami percaya mereka menggunakan modus operandi menurunkan pendatang asing di lokasi tersebut kerana berdekatan dengan stesen bas di Lembah Sireh, Kota Bharu dan tekong yang membawa mereka mengetahui tentang laluan itu," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial