NIBONG TEBAL, 28 Jun (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan terus turun padang bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), koperasi serta usahawan tempatan memperkukuh kedudukan dalam sektor perdagangan borong dan runcit, sekali gus meningkatkan ekonomi rakyat.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong berkata usaha itu akan dilaksanakan melalui pelbagai program melibatkan PMKS dan koperasi bagi menyokong perniagaan rakyat Malaysia agar dapat memanfaatkan pertumbuhan sektor tersebut.
Beliau berkata data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan sektor perdagangan borong dan runcit terus berkembang dengan nilai jualan hampir RM175 bilion pada April 2026, meningkat 15.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
“Ini menunjukkan sektor perdagangan borong dan runcit terus berkembang pesat didorong oleh permintaan domestik yang kukuh. Saya percaya perkembangan ini hasil usaha kerajaan dan sektor swasta dalam mengurangkan kos sara hidup, menstabilkan harga barangan serta meningkatkan pendapatan pekerja.
“Kita akan teruskan usaha KUSKOP untuk turun padang bukan sahaja bersama-sama PMKS dan koperasi, tetapi membantu menyokong perniagaan rakyat Malaysia supaya mereka turut menikmati pertumbuhan sektor ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sim ditemui pemberita selepas Program Jualan MADANI KUSKOP (JMK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jawi di Taman Bukit Panchor di sini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri Jason H’ng Mooi Lye yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Jawi.
Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata walaupun dunia kini berhadapan pelbagai cabaran termasuk perang tarif, perang perdagangan dan konflik geopolitik yang memberi kesan kepada ekonomi global, Malaysia masih mencatat pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan.
Beliau berkata sebagai negara yang mengamalkan ekonomi terbuka, Malaysia tidak terkecuali menerima tempias ketidaktentuan ekonomi dunia namun usaha berterusan kerajaan dan sektor swasta serta masyarakat berjaya memastikan aktiviti perdagangan domestik terus berkembang.
“Perkembangan positif ini turut memberi peluang kepada PMKS, koperasi dan usahawan kecil tempatan untuk memperluas pasaran, membina pelanggan baharu serta mengukuhkan penyertaan dalam rantaian ekonomi tempatan,” katanya.
Beliau berkata kerajaan komited memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati secara menyeluruh, khususnya oleh usahawan tempatan yang menjadi antara pemacu utama ekonomi negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial