ISTANBUL, 28 Jun (Bernama-Anadolu) -- Bahrain pada Ahad mendakwa berjaya memintas dan memusnahkan beberapa peluru berpandu serta dron yang dilancarkan Iran ke arah wilayahnya, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Tentera Bahrain dalam satu kenyataan di platform media sosial X mendakwa Iran meneruskan "kempen permusuhan secara sistematik" menerusi serangan peluru berpandu dan dron yang disifatkannya sebagai jenayah serta menyasarkan orang awam di negara itu.
"Penggunaan peluru berpandu dan dron secara sengaja bagi menyasarkan orang awam dan harta benda persendirian merupakan pencabulan nyata terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa," menurut kenyataan itu.
Menurut tentera Bahrain, semua cabang dan unit Angkatan Pertahanan Bahrain kini berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi bagi mempertahankan wilayah negara Teluk itu.
Pihak berkuasa turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menghampiri sebarang objek yang mencurigakan atau tidak dikenali kerana dikhuatiri merupakan sisa serangan.
Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri Bahrain memaklumkan serangan Iran menyebabkan kerosakan pada sebuah bangunan kediaman di Muharraq Governorate di utara negara itu, namun tidak mengorbankan nyawa.
"Pihak berkuasa berkaitan sedang mengambil langkah yang perlu di lokasi kejadian," menurut kementerian itu menerusi platform X.
Terdahulu pada Ahad, kementerian berkenaan memaklumkan siren amaran dibunyikan di seluruh negara susulan kemungkinan berlakunya serangan.
Sementara itu, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) memaklumkan sebelum ini bahawa pihaknya melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas pangkalan tentera Amerika Syarikat di Kuwait dan Bahrain sebagai tindak balas terhadap serangan terbaharu AS ke atas Iran.
Tindakan itu menyusuli kenyataan tentera AS bahawa ia melancarkan serangan terhadap beberapa sasaran di Iran dengan alasan sebagai tindak balas terhadap dakwaan serangan Iran ke atas kapal dagang di Selat Hormuz.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial