AM

LPNM Giat Perluas Tanaman Nanas SG-1 Di Semenanjung

28/06/2026 06:54 PM

MELAKA, 28 Jun (Bernama) -- Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) giat mempromosikan penanaman varieti nanas baharu Sarawak Gold-1 (SG-1) bagi memperluaskan penanamannya di Semenanjung Malaysia sekali gus meningkatkan produktiviti industri serta memperkukuh bekalan bahan mentah bagi sektor pemprosesan.

Ketua Pengarah LPNM Mohd Khairuzamri M. Salleh berkata setakat ini kira-kira 500 hektar tanaman SG-1 telah diusahakan di Semenanjung melibatkan Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang, manakala varieti itu dijangka diperkenalkan di Melaka dalam masa terdekat.

Beliau berkata varieti kebangsaan itu dibawa masuk dari Taiwan ke Miri, Sarawak pada Disember 2022 sebelum didaftarkan secara rasmi oleh Jabatan Pertanian Malaysia.

“SG-1 mempunyai tempoh matang lebih singkat iaitu sembilan bulan berbanding 14 hingga 16 bulan bagi varieti MD2, sekali gus membolehkan ia dituai lebih awal dan meningkatkan pendapatan pengusaha.

“Selain itu, SG-1 mempunyai kepadatan tanaman lebih tinggi iaitu antara 20,000 hingga 25,000 pokok bagi kawasan seluas 0.4 hektar (satu ekar), berbanding 15,000 hingga 17,000 pokok bagi varieti MD2 di keluasan sama, sekali gus mampu meningkatkan produktiviti pengeluaran,” katanya kepada pemberita di Taman Bunga Merdeka, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Laman Bromeliad LPNM-Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan penyerahan kunci pejabat LPNM Melaka yang disempurnakan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.

Turut hadir, Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman.

Mohd Khairuzamri berkata kualiti SG-1 setanding dengan MD2, malah tahap kemanisannya lebih tinggi, menjadikan varieti itu sesuai untuk pasaran segar serta industri pemprosesan.

“Kita menyasarkan kira-kira 60 peratus pengeluaran SG-1 disalurkan kepada industri pemprosesan seperti penghasilan jus dan nanas dalam tin kerana segmen itu menyumbang sekitar 70 peratus daripada nilai eksport industri nanas negara yang pernah mencecah RM1.4 bilion.

Terdahulu, beliau berkata Laman Bromeliad LPNM-MBMB merupakan yang pertama dibangunkan agensi itu dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan iaitu MBMB.

Katanya pemilihan Melaka sebagai lokasi pembangunan landskap nanas hiasan itu selari dengan imej negeri berkenaan sebagai bandar pelancongan bersejarah bertaraf dunia yang kaya dengan pelbagai tarikan, termasuk agro pelancongan bandar yang menghubungkan warisan, alam semula jadi dan industri pertanian.

Beliau berkata inisiatif itu juga bertujuan memperkenalkan industri nanas menerusi pendekatan kreatif dan mesra pelancongan, sekali gus menjadikan nanas sebagai elemen identiti baharu dalam landskap bandar Melaka.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan