LANGKAWI, 28 Jun (Bernama) -- Kerajaan sedang memperkukuh usaha meningkatkan kesalinghubungan Langkawi di peringkat domestik dan antarabangsa bagi memperkasakan ekonomi pulau peranginan itu serta memperkukuh daya saing usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata usaha itu penting bagi menjadikan Langkawi bukan sahaja destinasi pelancongan, tetapi turut berkembang sebagai pusat ekonomi yang lebih luas termasuk bagi PKS.
Beliau berkata perbincangan dengan syarikat penerbangan bagi menambah kekerapan perjalanan ke Langkawi serta penambahbaikan perkhidmatan feri akan dilaksanakan khususnya menerusi Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).
“Hari ini saya telah mengadakan sesi libat urus bersama usahawan kecil dan sederhana Langkawi dan kita berharap selain sektor pelancongan, kita dapat memperbesar ekonomi Langkawi menerusi produk-produk yang dihasilkan usahawan di sini.
“Dalam libat urus itu, saya mendengar isu-isu diketengahkan yang dihadapi mereka untuk berkembang khususnya dari segi prosedur percukaian serta cabaran lain,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, beliau hadir pada majlis penyerahan peralatan kesihatan berjumlah RM700,000 oleh Kementerian Kewangan kepada Hospital Sultanah Maliha, di sini.
Amir Hamzah yang juga Pengerusi Bersama LADA berkata usahawan tempatan turut membangkitkan isu berkaitan prosedur percukaian serta proses eksport-import yang dilihat boleh diperbaiki bagi meningkatkan daya saing perniagaan di pulau berkenaan.
“Komitmen kita bersama LADA dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia adalah untuk meneliti bagaimana proses ini boleh dipermudah supaya usahawan lebih kompetitif, bukan sahaja di Langkawi tetapi juga mampu menembusi pasaran luar,” katanya.
Pada sesi libat urus bersama usahawan PKS itu juga, beliau turut memaklumkan pelbagai inisiatif kerajaan khususnya berkaitan skim pembiayaan mikro yang boleh dimanfaatkan mereka bagi mengembangkan perniagaan.
Amir Hamzah berkata kerajaan juga melihat potensi baharu termasuk pembangunan ekonomi digital seperti menarik kehadiran digital nomad ke Langkawi yang turut dijangka memanfaatkan ekonomi pulau tersebut.
“Jadi kita harap dengan sokongan yang ada kita boleh mengembangkan sektor-sektor PKS di Langkawi khususnya dalam kraftangan, makanan dan barangan lain yang diusahakan di sini,” katanya.
Katanya, semua usaha itu selari dengan matlamat memperkukuh hubungan udara dan laut ke Langkawi sekali gus menjadikannya lebih mudah diakses serta berdaya saing sebagai pusat pelancongan dan ekonomi serantau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial