DUNIA

Syarikat China Cadang Labur US$9.2 Bilion Di Bangladesh - Laporan

28/06/2026 07:37 PM

HYDERABAD, 28 Jun (Bernama) -- Sebanyak 12 syarikat China mengemukakan cadangan pelaburan bernilai US$9.2 bilion di Bangladesh sempena lawatan Perdana Menteri Tarique Rahman ke China dari 22 hingga 26 Jun lepas, lapor agensi berita rasmi Bangladesh pada Ahad.

Antara projek utama bagi memperkukuh kerjasama Bangladesh-China itu membabitkan usaha pemodenan dan pembesaran Pelabuhan Mongla.

Agensi berita Bangladesh Sangbad Sangstha (BSS) melaporkan, China Civil Engineering Construction Corporation (CCECC) menawarkan US$650 juta untuk membangun dan mengendalikan Zon Ekonomi Pelabuhan Mongla, termasuk infrastruktur pergudangan serta logistik.

Projek-projek berkenaan dijangka membuka puluhan ribu peluang pekerjaan baharu.

Bangladesh kini sedang berusaha menarik pelaburan China dalam pelbagai sektor strategik termasuk tenaga, infrastruktur, logistik, pembuatan dan pendidikan.

BSS melaporkan, Shanghai SUS Environment Company merancang melabur US$890 juta untuk membangunkan loji tenaga sisa (WTE), manakala China Future Energy Group Holding Limited mempunyai rancangan bernilai US$250 juta bagi penerokaan dan pembangunan medan gas.

Sementara itu, Zhongxin Environmental Protection Group mencadangkan pelaburan sebanyak US$1.65 bilion untuk projek e-sisa di Zon Industri Pelabuhan Payra yang terletak di Teluk Benggala.

Bagi Huaxin Textile Industry Company Limited, syarikat itu merancang membina loji janakuasa suria 200 MW di Zon Ekonomi Payra, selain memperluas pengeluaran kapas serta benang kitar semula, dan mengeluarkan bateri litium silinder dengan nilai pelaburan US$190 juta.

Projek terbesar dikemukakan oleh Sichuan Road and Bridge Group yang berhasrat membangunkan lebuh raya Dhaka-Chattogram melalui perkongsian awam-swasta melibatkan pelaburan berjumlah US$4.5 bilion.

Projek-projek lain termasuk rancangan Shenzhen Kaifa Technology untuk melabur US$250 juta bagi mengeluarkan meter pintar elektrik, serta projek bernilai US$180 juta oleh SF Express untuk membangunkan logistik rantaian sejuk dan kemudahan gudang di Mongla, kira-kira 230 kilometer dari Dhaka

Menteri Perdagangan Bangladesh Khandakar Abdul Muktadir berkata pada Sabtu, peningkatan pelaburan China di Bangladesh akan membantu mengurangkan defisit perdagangan negara itu dengan China.

Berdasarkan kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Jumaat di akhir lawatan Tarique, Bangladesh dan China bersetuju untuk memodenkan serta memperluas kemudahan Pelabuhan Mongla secara bersama, selain mewujudkan taman industri China di Chattogram.

“China akan memperkukuh kerjasama dengan Bangladesh dalam bidang perdagangan, e-dagang, rantaian industri dan bekalan, serta pelaburan bagi meningkatkan kapasiti eksportnya dan bersama-sama menegakkan sistem perdagangan pelbagai hala,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan