BAGHDAD, 28 Jun (Bernama-dpa) -- Iran menegaskan ia menguasai sepenuhnya laluan perkapalan di Selat Hormuz bagi tempoh 30 hari akan datang, kata Menteri Luar Iran Abbas Araghchi susulan perjanjian gencatan senjata yang rapuh dengan Amerika Syarikat (AS) dilihat seakan-akan runtuh ekoran gelombang serangan terbaharu, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Selat berkenaan yang merupakan laluan air penting bagi perdagangan global, akan "sekali lagi diletakkan sepenuhnya di bawah pentadbiran Iran dalam tempoh 30 hari akan datang," katanya dalam satu sidang media di ibu negara Iraq, Baghdad.
Abbas turut mengulangi bahawa tanggungjawab menguruskan selat itu terletak sepenuhnya di tangan Iran.
"Sebarang campur tangan atau percubaan untuk mewujudkan struktur selari hanya akan merumitkan lagi keadaan, mencetuskan ketegangan tambahan, dan melambatkan pembukaan semula laluan air yang sangat penting dan strategik ini," katanya.
Pada Februari lepas, apabila Israel dan AS mula menyerang Iran, Tehran bertindak melumpuhkan trafik perkapalan di Selat Hormuz melalui ancaman dan serangan, sekali gus menggunakan selat itu sebagai kelebihan untuk merundingkan penamatan konflik.
Pembukaan semula Selat Hormuz kepada aktiviti perkapalan merupakan sebahagian daripada rangka kerja utama yang dipersetujui baru-baru ini antara AS dan Iran.
Perjanjian itu menetapkan bahawa Iran tidak dibenarkan mengenakan sebarang bayaran bagi laluan kapal sepanjang tempoh rundingan 60 hari.
Iran dijadualkan mengadakan perbincangan dengan Oman mengenai langkah seterusnya selaras dengan undang-undang antarabangsa dan melalui penyelarasan dengan negara-negara jiran.
Penganalisis berpendapat potensi pengenalan sebarang bayaran boleh menjadi titik pertikaian utama, terutamanya yang berkaitan dengan pematuhan undang-undang antarabangsa.
-- BERNAMA-dpa
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial