KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Empat individu berdepan detik cemas selepas terperangkap dalam kebakaran melibatkan sebuah unit rumah di pangsapuri empat tingkat di Subang Perdana Goodyear Court 7, USJ 14, Subang Jaya, pagi tadi.
Kesemua mereka bagaimanapun, berjaya diselamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang menerima panggilan kecemasan pada 9.48 pagi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor Ashrul Riezal Asbar berkata sebanyak 17 pegawai dan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya dengan bantuan BBP Puchong dikerahkan ke lokasi kejadian.
Beliau berkata kebakaran itu menyebabkan sebuah unit kediaman di tingkat satu yang berkeluasan 20x40 kaki persegi musnah hampir 80 peratus.
"Seorang mangsa, iaitu lelaki warga tempatan berusia 20-an yang juga penyewa unit rumah yang terbakar itu berjaya dikeluarkan dan diselamatkan oleh anggota bomba," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ashrul Riezal berkata tiga lagi mangsa warga asing, masing-masing seorang lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 20-an, turut berjaya diselamatkan selepas terperangkap di kediaman mereka di tingkat empat pangsapuri berkenaan akibat asap tebal.
Kebakaran, katanya, berjaya dikawal sepenuhnya pada 10.12 pagi dan punca kejadian itu masih dalam siasatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial