PUTRAJAYA, 29 Jun (Bernama) -- Sebanyak 14 projek Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) Berimpak Tinggi menerima pengiktirafan kerajaan hari ini sebagai usaha menghargai komitmen kementerian, agensi dan kerajaan negeri dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam serta meningkatkan produktiviti dan daya saing negara.
Pengiktirafan itu disampaikan pada Majlis Pengiktirafan RKB di sini malam ini, yang menyaksikan penyampaian sijil kepada 86 Projek RKB Berpotensi Tinggi, 12 penerima kategori Pencapaian Bilangan Projek RKB Siap Tertinggi serta tiga penerima Anugerah Khas RKB.
Majlis berkenaan dihadiri Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Hadir sama Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian, Setiausaha Kerajaan Negeri, pengurusan perkhidmatan awam dan negeri, penyelaras RKB serta wakil projek.
Shamsul Azri dalam ucapannya berkata reformasi perlu diterjemahkan melalui perubahan yang dapat dilihat, diukur dan dirasai rakyat serta komuniti perniagaan, justeru usaha mengurangkan kerenah birokrasi mesti diteruskan secara konsisten bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing negara.
“Reformasi bukan sekadar slogan atau poster. Reformasi ialah perubahan yang boleh dilihat, diukur dan dirasai oleh rakyat dan komuniti perniagaan. Justeru, usaha mengurangkan kerenah birokrasi perlu diteruskan secara konsisten bagi melonjakkan produktiviti dan daya saing negara,” katanya.
Beliau berkata RKB yang merupakan antara inisiatif di bawah Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA), memperkukuh usaha kerajaan membina perkhidmatan awam yang lebih pantas, mesra dan berjiwa rakyat melalui pendekatan whole-of-government atau keseluruhan kerajaan melibatkan kementerian, agensi serta kerajaan negeri.
Pencapaian Malaysia dalam Penarafan Daya Saing Dunia (IMD) 2026 menunjukkan usaha reformasi mula membuahkan hasil apabila negara melonjak lapan anak tangga ke kedudukan ke-15 daripada 70 negara, sekali gus mencatat pencapaian terbaik dalam tempoh sedekad.
Beliau berkata faktor Kecekapan Kerajaan turut meningkat 11 anak tangga daripada kedudukan ke-25 kepada ke-14 dunia, mencerminkan pengiktirafan antarabangsa terhadap usaha memperkukuh tadbir urus, mempercepat penyampaian perkhidmatan dan mengurangkan beban kawal selia.
Shamsul Azri berkata pencapaian itu mengukuhkan usaha kerajaan untuk meneruskan pelaksanaan RKB secara konsisten bagi menyokong sasaran Malaysia berada di kedudukan ke-12 dunia dalam penarafan daya saing itu menjelang 2030.
Selain pengiktirafan kepada projek RKB, majlis itu turut menghargai sumbangan komunikasi dan produktiviti yang menyokong agenda reformasi menerusi anugerah kepada pemenang pertandingan liputan media RKB serta pasukan yang menjayakan inisiatif Paradoks Produktiviti Kecerdasan Buatan (AI).
“Kerajaan akan terus memperkukuh pelaksanaan RKB merentasi kementerian, agensi dan kerajaan negeri bagi memastikan setiap inisiatif reformasi dilaksanakan secara konsisten, berimpak tinggi dan menyokong peningkatan produktiviti negara, daya saing ekonomi serta kualiti penyampaian perkhidmatan awam,” menurut Shamsul Azri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial