EKONOMI

MIDA Meterai Lima MoU Pelaburan Asing Dari Empat Negara Sepanjang 2023-2025 - MITI

29/06/2026 10:18 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) memeterai lima memorandum persefahaman (MoU) berkaitan pelaburan asing bersama organisasi dari China, Arab Saudi, Jepun dan Türkiye sepanjang 2023 hingga 2025.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menyatakan MoU itu melibatkan sektor-sektor strategik seperti semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh baharu, rantaian bekalan aeroangkasa serta penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).

Menurutnya, MoU yang dimeterai berfungsi sebagai platform kerjasama strategik untuk meneroka peluang pelaburan baharu, memperkukuh jaringan dengan bakal pelabur serta menggalakkan kerjasama dalam sektor- sektor berpotensi tinggi.

“Pemeteraian MoU ini merupakan langkah awal yang memudah cara perbincangan lanjut, pertukaran maklumat dan penilaian peluang pelaburan yang berpotensi untuk direalisasikan di Malaysia.

“Tetapi, ia tidak semestinya diterjemahkan kepada pelaburan yang direalisasikan kerana sebarang keputusan pelaburan akan dipertimbangkan berdasarkan penilaian komersial, teknikal dan strategik sebelum komitmen pelaburan dapat dimuktamadkan,” katanya menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Dewan Rakyat hari ini. 

Kementerian itu menjawab soalan Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) tentang jumlah MoU berkaitan pelaburan asing yang dimeterai oleh kerajaan sepanjang tempoh 2023 hingga 2025, dan berapa banyak daripadanya diterjemahkan kepada projek pelaburan yang diluluskan dan beroperasi di Malaysia.

Selain itu, MITI memaklumkan sebanyak 39 lawatan rasmi telah dilaksanakan dalam tempoh itu. Hasil daripada lawatan dan misi berkenaan, potensi pelaburan berjumlah RM424.7 bilion telah direkodkan.

Daripada jumlah potensi pelaburan itu, sebanyak RM151.7 bilion telah diluluskan, manakala RM76.7 bilion lagi sedang dalam proses penilaian yang akan dimuktamadkan pada tahun ini.

“Lazimnya, pelaburan itu akan dilaksanakan dalam tempoh 18 hingga 24 bulan setelah diluluskan sebelum beroperasi,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan