MUAR, 30 Jun (Bernama) -- Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 tidak akan menjejaskan kestabilan Kerajaan Persekutuan berikutan perubahan landskap dan dinamika politik tanah air kini, kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata mandat pentadbiran di peringkat pusat dan negeri mempunyai acuan berbeza, malah model politik semasa di beberapa negeri lain membuktikan keunikan tersebut dapat diamalkan tanpa menimbulkan sebarang isu.
"Banyak negeri seperti Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu tiada masalah. Di Sabah lagi unik, parti yang menjadi pembangkang tapi bersama Kerajaan Perpaduan di pusat. Jadi dinamika politik Malaysia telah berubah, kita jangan terikat dengan pemikiran lama," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni pengundi yang bersarapan di warung di Jalan Sungai Abong di sini bersama calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram Datuk Azman Ismail dan calon BN DUN Bukit Naning Mohd Ghazali Sabari @ Atan.
Mengulas aspek sosioekonomi, Mohamad berkata kestabilan politik di bawah BN amat kritikal bagi memastikan Johor terus memacu kemasukan pelaburan asing yang kini mendahului negeri-negeri lain.
Beliau berkata lonjakan prestasi ekonomi tersebut bakal diterjemahkan dalam bentuk peningkatan hasil negeri yang akhirnya akan dipulangkan semula bagi memakmurkan rakyat.
"Johor merupakan negeri yang terkehadapan daripada segi penerimaan pelabur-pelabur daripada luar negara, ini satu perkara yang amat baik, lagi dua tiga tahun akan diterjemahkan dalam bentuk hasil negeri.
"Hasil negeri ini kita dah tengok prestasi MB (Menteri Besar) dia bagi kepada rakyat Johor. Jadi orang Johor janganlah buat silap, terus sokong Barisan Nasional terus mentadbir Johor dan sama-sama kita menikmati hasil daripada sokongan kita itu nanti," katanya.
Mengenai kenyataan PAS baru-baru ini yang membayangkan sokongan undi kepada calon BN di kawasan tertentu, Mohamad mengingatkan jentera parti agar tidak terlalu selesa dan berharap kepada belas ihsan pihak luar.
"Kita mesti terus bekerja kuat. Dalam hidup ini kita jangan mengharapkan belas ihsan orang. Kita bina kekuatan kita supaya kuat atas kekuatan sendiri, jangan mengharapkan guruh di langit, tapi nanti tempayan kita pecahkan tidak berguna," katanya.
PRN Johor menyaksikan sebanyak 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial