Oleh Ummu Khalidah Hamzah
LAHAD DATU, 1 Julai (Bernama) -- Kawasan hutan yang suatu ketika dahulu musnah akibat kebakaran besar ketika fenomena El Nino dan aktiviti pembalakan, kini kembali menghijau menerusi Projek Pemulihan Hutan Habitat Orangutan di Lower Kawag, Hutan Simpan Ulu Segama-Malua.
Inisiatif yang dilaksanakan Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) itu bertujuan memulihkan kawasan hutan terosot bagi meningkatkan kualiti habitat orang utan, selain memperkukuh usaha pemuliharaan biodiversiti di Sabah.
Pegawai Pemeliharaan Hutan JPS Jackly Ambrose berkata kira-kira 90 peratus daripada 6,000 hektar kawasan di hutan itu mengalami degradasi akibat kebakaran besar ketika fenomena El Nino pada 1983, 1997 dan 1998, selain aktiviti pembalakan intensif yang dijalankan antara 1980 hingga 2007.
“Ketika dahulu pembalakan dijalankan secara konvensional dan pengurusannya tidak seperti hari ini. Selepas kawasan ini mengalami kebakaran, keadaan hutan menjadi semakin terosot dan memerlukan usaha pemulihan secara berperingkat,” katanya kepada media ketika lawatan ke tapak projek di sini.
Beliau berkata projek restorasi yang bermula pada 2019 itu dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun hingga 2029 dengan peruntukan RM10 juta daripada MPOGCF, melibatkan kawasan seluas 2,500 hektar di Lower Kawag.
Jackly berkata fasa ketiga yang bermula tahun ini hingga 2029 melibatkan kawasan seluas 332 hektar menjadikannya antara fasa terbesar projek itu dengan sasaran penanaman sebanyak 132,800 anak pokok.
“Projek ini adalah kesinambungan kepada fasa pertama yang melibatkan kawasan seluas 25 hektar pada 2019 dan fasa kedua seluas 200 hektar yang kini hampir 90 peratus siap.
“Setakat ini sebanyak 225 hektar kawasan telah berjaya dipulihkan bersama MPOGCF dan fasa ketiga akan menambah lagi keluasan kawasan yang dipulihkan,” katanya.
Menurut Jackly, usaha pemulihan dimulakan dengan penanaman spesies pokok perintis tempatan seperti laran, binuang dan talisai bagi membentuk litupan kanopi sebelum disusuli spesies kayu keras daripada keluarga dipterokarpa termasuk kapur dan seraya.
Beliau berkata hasil pemantauan di kawasan fasa kedua menunjukkan pokok yang ditanam sejak 2022 berkembang dengan baik, malah menerima pengiktirafan antarabangsa menerusi pensijilan Preferred by Nature (PbN) di bawah Piawaian Pengesahan Lapangan Pemulihan Ekosistem Versi 3.1, yang mengiktiraf pelaksanaan restorasi landskap hutan terosot mengikut amalan terbaik antarabangsa.
Selain pemulihan hutan, Jackly berkata projek itu turut meningkatkan kualiti habitat orang utan serta menyediakan laluan pergerakan hidupan liar seperti gajah, sekali gus membantu mengurangkan konflik antara hidupan liar dengan kawasan ladang berhampiran.
Sementara itu, Pengawas Hutan Kawasan Lower Kawag Perhutanan Ramlan Sakong berkata pemantauan bersama HUTAN, sebuah badan bukan kerajaan pemuliharaan hidupan liar di Sabah, pada Ogos tahun lepas mendapati kepadatan orang utan di kawasan Lower Kawag berada dalam julat 1 hingga 3.5 ekor bagi setiap kilometer persegi selepas pelaksanaan projek restorasi.
Menurutnya, lebih 20 spesies mamalia turut direkodkan, termasuk 12 spesies terancam seperti banteng, gajah dan beruang, selain lebih 180 spesies burung, termasuk spesies jarang ditemui dan endemik seperti Pitta, Bornean ground cuckoo serta beberapa spesies enggang.
Bagi memperluas kesedaran dan penglibatan penduduk tempatan, projek itu turut melibatkan 114 ahli daripada Komuniti Nurseri Kampung Tampenau (gabungan Tambunan, Penampang dan Ranau) yang membekalkan anak pokok untuk aktiviti penanaman.
Usaha ini bukan sahaja menggalakkan penglibatan komuniti dalam pemuliharaan hutan, malah membuka peluang menjana pendapatan menerusi penghasilan anak pokok.
Seorang ahli komuniti, Fololita Palandis, 39, berkata kebanyakan peserta terdiri daripada suri rumah, kini memperoleh sumber pendapatan tambahan hasil jualan anak pokok pada harga RM5 hingga RM7 bagi setiap polibeg bergantung kepada spesies dan kuantiti tempahan.
“Sebelum ini kami buat pendapatan sampingan dengan menjual beg anyaman dan kraf tangan. Sekarang, jualan anak pokok ini menjadi satu lagi sumber pendapatan yang membantu menambah rezeki keluarga, terutama untuk perbelanjaan anak-anak,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata komuniti itu turut diberikan pendedahan kemahiran mengenal spesies pokok hutan seperti laran, binuang dan seraya, selain mempelajari teknik penyemaian dan penjagaan anak pokok sebelum dipindahkan ke kawasan pemulihan.
Seorang peserta, katanya mampu menyediakan hingga 200 anak pokok sehari, manakala pada fasa kedua projek itu komuniti berkenaan berjaya membekalkan sebanyak 80,000 anak pokok bagi menjayakan usaha restorasi hutan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial