MUAR, 1 Julai (Bernama) -- Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi menepis dakwaan segelintir pihak kononnya pembangunan di negeri itu tidak seimbang sehingga memaksa penduduk berhijrah keluar, sebaliknya menegaskan pembangunan setiap daerah dipandu pelan kemajuan menyeluruh.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor menjelaskan menerusi Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP) kerangka kemajuan dirancang secara menyeluruh dengan memberikan tumpuan strategik kepada fokus sosioekonomi unik bagi setiap daerah secara saksama.
Katanya, pertumbuhan ekonomi makro Johor yang semakin meningkat ketika ini secara langsung diterjemahkan ke dalam bentuk bantuan kebajikan bagi memastikan seluruh "Bangsa Johor" merasai limpahan kekayaan negeri.
"Dari segi pembangunan setiap daerah, kita ada JETP yang akan melihat kepada pembangunan lebih menyeluruh yang mana setiap daerah mempunyai fokus masing-masing.
"Saya yakin di peringkat warga Johor bila kita lihat ekonomi Johor semakin meningkat membangun, limpahan ekonomi itu benar-benar dapat dirasai oleh bangsa Johor terutamanya melalui bantuan Kasih Johor. Jadi apa yang dicanang oleh mereka tidak benar sama sekali," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program perjumpaan bersama masyarakat di Parit Raja, di sini, hari ini.
Turut hadir calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani, Datuk Ashari Md Sarip.
Selain kerangka pembangunan JETP, Onn Hafiz berkata momentum kemajuan di wilayah utara Johor turut diperkukuh menerusi zon industri berimpak tinggi, termasuk hab tenaga Maharani Energy Gateway.
Pelaksanaan projek mega berkenaan dijangka membuka rantaian pasaran perniagaan baharu serta limpahan peluang pekerjaan yang meluas bagi merancakkan ekonomi domestik dan menahan penghijrahan tenaga kerja tempatan.
Mengulas mengenai gerak kerja jentera selepas lebih seminggu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bermula, Onn Hafiz yang juga bertanding bagi kerusi DUN Machap melahirkan rasa syukur atas kelancaran siri berkempen serta maklum balas positif yang ditunjukkan oleh penduduk di daerah Muar.
Beliau turut menyeru seluruh jentera gabungan politik untuk terus mengekalkan momentum kerja yang baik serta mengamalkan pendekatan kempen secara sihat dan profesional menjelang hari pengundian nanti.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial