AM

MARDI Bangunkan Keledek V8, Matang 90 Hari Dengan Hasil 26 Tan Sehektar

15/11/2026 03:42 PM

BACHOK, 15 Nov (Bernama) -- Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) membangunkan varieti baharu ubi keledek V8, yang berpotensi menghasilkan lebih 26 tan sehektar dengan tempoh kematangan hanya 90 hari selepas penanaman.

Ketua Pengarah MARDI Dr Sanimah Simoh berkata tempoh kematangan itu lebih singkat berbanding varieti Vitato yang mengambil masa kira-kira 120 hari, sekali gus berpotensi meningkatkan produktiviti ladang dan mengurangkan kos pengurusan tanaman.

Beliau berkata varieti V8 dibangunkan sejak 2021 menerusi kaedah pembaikbakaan mutasi menggunakan teknologi sinaran gama dengan peruntukan RM300,000 di bawah Projek Pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Melalui penggunaan teknologi sinaran gama, MARDI berjaya menghasilkan klon ubi keledek V8 yang mempunyai prestasi hasil, kualiti dan kestabilan yang baik serta kini berada pada tahap kesediaan teknologi untuk dikomersialkan,” katanya kepada pemberita selepas Program Lawatan Kerja Ketua Pengarah MARDI ke Plot Varieti Baharu Ubi Keledek V8 di sini hari ini.

Sanimah berkata pembangunan varieti itu turut mengambil kira aspek kualiti dan kesesuaian pasaran, termasuk bentuk ubi yang seragam, kulit luar oren kemerahan serta isi berwarna oren pekat.

MARDI, katanya dijangka memulakan projek rintis penanaman V8 dengan kerjasama usahawan luar pada awal tahun depan selepas bekalan benih mencukupi untuk diedarkan kepada pengusaha tanaman.

Beliau berkata usaha memperluas penanaman ubi keledek turut menyokong agenda keterjaminan makanan negara, selain mengurangkan kebergantungan kepada sumber karbohidrat import.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan