AM

Kasih Pak Samad Kepada Rakyat Terus Hidup Dalam Karyanya, Takziah Buat Keluarga - PM

24/11/2026 10:13 PM

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Sasterawan Negara Datuk Seri Dr A Samad Said yang meninggal dunia petang tadi.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata beliau menerima berita pemergian tokoh sastera itu pada usia 91 tahun dengan rasa hiba dan sayu.

Beliau berkata menerusi novel Salina (1961), Allahyarham yang mesra dengan panggilan Pak Samad berjaya mendekatkan masyarakat kepada kehidupan golongan yang sering tersisih sekali gus mengajak orang ramai memahami kesusahan dan memperjuangkan harapan mereka.

“Pak Samad mendekatkan kita kepada insan yang sering tersisih, agar kita turut menggarap duka dan memperjuang harapan mereka... kasihnya kepada rakyat akan terus hidup dalam karya-karyanya, juga dalam kecekalannya membela Bahasa Melayu dan memperjuangkan keadilan,” katanya.

Perdana Menteri berkata beliau dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, segala dosanya diampunkan serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Beliau turut mendoakan agar keluarga Allahyarham diberikan ketabahan dalam menghadapi kehilangan itu.

A Samad Said, atau nama sebenarnya Abdul Samad Muhammad Said, menghembuskan nafas terakhir pada 6.10 petang selepas menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur akibat sakit tua selain turut menghidap diabetes.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula menyifatkan pemergian Sasterawan Negara itu, yang telah mengabdikan hampir seluruh kehidupannya kepada bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan bangsa, sebagai kehilangan besar buat negara.

Beliau berkata Pak Samad meninggalkan jejak yang cukup besar dalam perjalanan sastera tanah air menerusi karya, pemikiran dan keberaniannya menyuarakan nurani masyarakat.

“Karya dan pemikiran Pak Samad akan terus dibaca, direnungi dan diwarisi oleh generasi demi generasi sebagai sebahagian daripada khazanah besar bangsa Malaysia.

“Pemergian seorang sasterawan tidak pernah memadamkan karya dan pemikirannya yang akan terus hidup,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Ahmad Zahid turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham dan mendoakan agar mereka dikurniakan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi kehilangan itu.

“Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarham, menerima segala amal kebajikannya dan menempatkan rohnya dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah,” katanya. 

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan