DUNIA

Thailand Bakal Tandatangani MoU Naik Taraf Rangkaian Lebuh Raya ASEAN

24/11/2026 11:36 PM

Oleh Kenny Teng

BANGKOK, 24 Nov (Bernama) -- Thailand bakal menandatangani perjanjian untuk menaik taraf Rangkaian Lebuh Raya ASEAN serta melancarkan pergerakan barangan dan penumpang merentasi sempadan selepas Kabinet negara itu meluluskan draf perjanjian berkenaan pada Selasa.

Jurucakap kerajaan Ploythalay Laksameesaengchan berkata Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Pembangunan Rangkaian Lebuh Raya ASEAN itu dijadual ditandatangani pada Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN ke-32 di Tagaytay City, Filipina, dari 3 hingga 4 Dis ini.

Ploythalay berkata perjanjian itu bertujuan memodenkan rangkaian berkenaan dengan menyelaraskan piawaian lebuh raya di seluruh ASEAN bagi menyokong perdagangan, pelaburan, pelancongan dan pertukaran budaya serantau.

"Kabinet turut memberi kuasa kepada Kementerian Pengangkutan untuk membuat pindaan terhadap draf MoU itu, dengan syarat pindaan berkenaan tidak menjejaskan peruntukan substantif atau bercanggah dengan prinsip yang diluluskan oleh Kabinet.

"Sebarang perubahan hendaklah dilaporkan kepada Kabinet selepas itu, berserta justifikasi dan manfaatnya kepada Thailand," katanya dalam satu kenyataan.

Ploythalay berkata kementerian itu telah memberikan input mengenai draf berkenaan menerusi Subkumpulan Kerja Lebuh Raya ASEAN (AHSWG) dan Thailand boleh melaksanakan hasil semakan itu mengikut undang-undang dan peraturan sedia ada.

"Di bawah MoU itu, pegawai pengangkutan ASEAN menerusi Kumpulan Kerja Pengangkutan Darat (LTWG) dan AHSWG, dengan penyelarasan bersama Sekretariat ASEAN, akan menyelia pelaksanaan MoU serta usaha menaik taraf piawaian lebuh raya, termasuk klasifikasi jalan, reka bentuk dan papan tanda," katanya.

Beliau berkata rangkaian itu menghubungkan ibu negara dan bandar utama di seluruh negara anggota ASEAN dengan pusat perindustrian dan pertanian, lapangan terbang, pelabuhan laut, pelabuhan sungai, terminal kontena serta gudang.

Ploythalay berkata perjanjian itu akan membantu menjadikan perjalanan melalui jalan raya di seluruh rantau ini lebih pantas, selamat dan lancar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan