Daripada Siti Radziah Hamzah
GEOJE ISLAND (Korea Selatan), 25 Nov (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengunjurkan kemudahan gas asli cecair (LNG) terapung ketiganya iaitu PFLNG Tiga akan meningkatkan bekalan LNG serta keupayaannya untuk memenuhi permintaan pelanggan di pelbagai pasaran apabila operasi komersial bermula pada suku ketiga 2027.
Kumpulan itu merancang untuk menjual beberapa kargo LNG terawal daripada PFLNG Tiga di pasaran semerta sebelum menggabungkan jumlah bekalan seterusnya ke dalam portfolio bekalan LNG syarikat yang lebih meluas.
Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Gas dan Perniagaan Maritimnya Datuk Adif Zulkifli berkata pengeluaran daripada kemudahan berkapasiti dua juta tan setahun di Sipitang, Sabah itu akan digabungkan ke dalam portfolio LNG Petronas yang lebih luas.
“Kami percaya pasaran akan terus kukuh pada tahun depan dan kargo yang dihasilkan daripada PFLNG Tiga akan menjadi agak menarik kepada pasaran sepanjang tempoh berkenaan,” katanya kepada media pada sesi taklimat sempena majlis penamaan kemudahan itu di limbungan kapal Samsung Heavy Industries di sini.
Kemudahan yang secara rasmi dinamakan PFLNG Tiga itu merupakan kemudahan LNG terapung berhampiran pantai yang pertama di dunia dan akan ditempatkan di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) di Sabah.
Adif memberitahu PFLNG 3 akan menyediakan saluran tambahan untuk mengkomersialkan sumber gas Sabah sekali gus menggalakkan lebih banyak aktiviti penerokaan dan pembangunan huluan.
Beliau berkata langkah itu juga akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pangkalan utama bekalan LNG syarikat disokong oleh pelaburan dalam sumber huluan serta keupayaan pengeluaran LNG terapung.
Beliau menjelaskan syarikat itu menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran LNG kepada 55 juta tan setahun (mtpa) menjelang 2035 berbanding kira-kira 40 juta mtpa ketika ini.
PFLNG Tiga akan menambah kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak dua juta tan kepada operasi sedia ada Petronas sekali gus memberi fleksibiliti bekalan yang lebih besar ketika permintaan LNG terus meningkat, khususnya di rantau Asia Pasifik.
Petronas kini mempunyai kapasiti pengeluaran LNG tahunan kira-kira 29.3 juta tan di Bintulu, Sarawak manakala PFLNG Satu dan PFLNG Dua yang kedua-duanya beroperasi di Sabah, masing-masing mempunyai kapasiti sebanyak 1.2 juta tan dan 1.5 juta tan.
Adif memberitahu permintaan LNG global dijangka meningkat daripada kira-kira 500 juta tan ketika ini kepada antara 650 juta tan hingga 700 juta tan menjelang 2040.
Ia didorong sebahagiannya oleh peralihan daripada penggunaan arang batu dalam sektor penjanaan tenaga serta peningkatan keperluan tenaga bagi pusat data di rantau Asia Pasifik.
PFLNG TIGA Dijadual Beroperasi Pada 2027
Sementara itu, Naib Presiden Kanan Aset LNG Petronas Abang Yusuf Abang Puteh berkata PFLNG 3 dijadual belayar dari Geoje ke Sipitang pada Februari 2027 tertakluk kepada penyelesaian kerja-kerja integrasi, pengujian dan persiapan untuk penempatan di laut.
Beliau berkata kerja pentauliahan akan bermula selepas kemudahan itu tiba di Sabah dan disambungkan kepada bekalan gas, bekalan tenaga serta infrastruktur sokongan di darat.
Kemudahan itu akan melalui proses pentauliahan sistem, penyaluran gas, permulaan operasi dan peningkatan pengeluaran sebelum memulakan operasi komersial yang dijangka pada suku ketiga 2027.
Pengeluaran LNG daripada kemudahan itu akan disalurkan ke pasaran eksport manakala permintaan gas domestik di Sabah akan terus dipenuhi melalui bekalan gas berpaip.
Pasaran eksport utama LNG Petronas termasuk Jepun, Korea Selatan dan China dengan Adif berkata syarikat itu masing-masing menguasai bahagian pasaran kira-kira 16 peratus, 14 peratus dan 10 peratus di negara berkenaan.
Adif memaklumkan Petronas turut memperluas kehadirannya di pasaran LNG yang sedang pesat membangun dengan penghantaran kargo pertamanya ke Vietnam pada April 2025 dan lebih 180 kargo ke Thailand.
Bekalan Gas Selama 20 Tahun
Menurut Adif, Petronas telah memperoleh bekalan gas bagi PFLNG 3 untuk tempoh 20 tahun dengan bekalan gas suapan (feedgas) diperoleh terutamanya daripada kelompok Kebabangan di luar pesisir Sabah.
Beliau berkata kelompok itu kini mengeluarkan gas kira-kira 300 juta kaki padu standard sehari (MMscfd) dengan kira-kira 170 MMscfd daripadanya dibekalkan kepada PFLNG SATU.
Pengeluaran akan ditingkatkan secara berperingkat bagi memenuhi keperluan PFLNG SATU, PFLNG 3 serta pasaran gas domestik Sabah.
Beliau menyatakan Pengurusan Petroleum Malaysia turut menggalakkan aktiviti penggerudian dan penerokaan lanjut bagi membangunkan sumber gas tambahan yang boleh disambungkan kepada sistem saluran paip sedia ada.
Adif menjelaskan kerja penyahoperasian yang dirancang bagi Sektor 2 Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak (SSGP) di Sarawak tidak akan menjejaskan bekalan gas kepada PFLNG 3 kerana bahagian saluran paip yang membekalkan gas ke Sipitang akan terus beroperasi.
Sementara itu, Abang Yusuf berkata konfigurasi PFLNG 3 yang terletak berhampiran pantai membolehkan kemudahan itu memanfaatkan infrastruktur berasaskan darat bagi bekalan elektrik, penyelenggaraan, pergudangan dan fungsi sokongan lain.
Pembangunan itu merangkumi jeti, kemudahan sokongan di darat, infrastruktur bekalan tenaga khusus serta saluran paip bekalan gas asli sepanjang kira-kira 12 kilometer dengan diameter 24 inci.
Tidak seperti kemudahan LNG terapung luar pesisir Petronas yang lain, PFLNG 3 tidak memerlukan kuarters penginapan di atas kemudahan itu, dek helikopter atau sistem penjanaan elektrik menggunakan turbin gas di atas kemudahan tersebut sekali gus menyediakan lebih banyak ruang untuk peralatan pengeluaran LNG.
Abang Yusuf memaklumkan PFLNG 3 akan menggunakan turbin gas aeroderivatif LM9000 bagi proses pencairan LNG yang menawarkan kecekapan kitaran ringkas sebanyak 44 peratus berbanding 41 peratus bagi PFLNG SATU dan 42.5 peratus bagi PFLNG DUA.
Beliau berkata teknologi pelepasan rendah kering pada turbin itu direka untuk mengurangkan pelepasan nitrogen oksida manakala LM9000 akan berfungsi sebagai pemacu mekanikal bagi pemampat pencairan gas dan bukannya menjana tenaga elektrik.
Kemudahan itu dilengkapi peralatan bahagian atas dek seberat kira-kira 40,000 tan yang merangkumi 11 modul utama.
Abang Yusuf memberitahu reka bentuk berhampiran pantai itu akan memudahkan akses bagi kerja penyelenggaraan dan meningkatkan kecekapan operasi selain mengurangkan keperluan infrastruktur sokongan di atas kemudahan berkenaan.
Pengembangan Portfolio LNG Global
Selain di Malaysia, Adif berkata Petronas turut memperluas portfolio LNG menerusi pelaburan dan pengaturan bekalan di Kanada dan Amerika Syarikat (AS).
Jelasnya LNG Canada telah menghasilkan lebih 100 kargo sejak memulakan operasi manakala keputusan pelaburan akhir bagi pengembangan Fasa 2 projek itu dibuat pada penghujung September 2026.
Pengembangan itu akan menggandakan kapasiti pengeluaran LNG Canada sekali gus menambah bekalan kepada portfolio syarikat.
Petronas turut mendapatkan jumlah bekalan LNG tambahan daripada Cedar LNG di Kanada dan mempunyai pengaturan pembelian LNG daripada pengeluar di sepanjang pesisir Teluk AS.
Adif menyatakan syarikat itu sedang membangunkan portfolio yang pelbagai dengan menyasarkan nisbah 80:20 di antara bekalan sendiri dengan pembelian daripada pihak ketiga serta di antara jualan jangka panjang dengan jualan di pasaran semerta.
Beliau menambah bahawa Petronas turut menyasarkan pembahagian yang sama iaitu nisbah 80:20 di antara pasaran Pasifik dengan pasaran Atlantik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial