EKONOMI

Menara SSI Bakal Mercu Tanda Baharu Bandar Raya Ipoh

16/01/2017 09:18 PM
IPOH, 16 Jan (Bernama) -- Menara Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI) yang terletak di Jalan Sultan Idris Shah di sini, bakal menjadi mercu tanda baharu bandar raya Ipoh, apabila ia siap sepenuhnya pada hujung tahun ini.


Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc Datuk Aminudin Hashim berkata menara SSI setinggi 11 tingkat di tapak seluas 0.6 hektar itu, dibangunkan oleh anak syarikat milik MB Inc iaitu MH Amanjaya Properties Sdn Bhd dan Man Hoe Properties Sdn Bhd dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM100 juta.


Beliau berkata menara yang terletak di lokasi strategik itu merupakan inisiatif ke arah merealisasikan Gagasan Perak Amanjaya iaitu dengan mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan, pekerjaan, pelaburan serta kemudahan.


Aminuddin berkata dengan siapnya menara itu nanti, ia akan menjadi ibu pejabat kepada Setiausaha Kerajaan Negeri yang sebelum ini berpusat di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak yang terletak di Bangunan Perak Darul Ridzuan.


Menara SSI yang merupakan projek kediaman berkonsepkan SOHO iaitu 'Small Office Home Office' atau 'pejabat kecil, pejabat rumah' itu menyediakan kemudahan komersial serta berkonsepkan pembangunan bercampur yang turut menempatkan sebuah hotel, klinik, kedai serta kafeteria, katanya.


"Projek Ipoh SOHO yang melibatkan pembinaan Menara SSI ini dapat menggariskan kerjasama yang erat antara SSI dan MBI Inc," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan menara berkenaan di sini hari ini.


Majlis penyerahan Menara SSI itu disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan di sini hari ini.


-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan