PASARAN > BERITA

Pasaran Getah Ditutup Tinggi Susulan Harga Minyak Mentah Mengukuh

17/10/2024 09:05 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup tinggi pada Khamis disokong oleh kenaikan penanda aras harga minyak mentah selain ringgit yang lebih lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), kata seorang peniaga.

Beliau berkata sentimen pasaran juga dipengaruhi oleh kebimbangan terhadap bekalan getah asli yang terhad akibat cuaca buruk di negara pengeluar.

“Namun begitu, kenaikan selanjutnya dihadkan oleh prestasi bercampur-campur dalam pasaran niaga hadapan getah serantau di tengah-tengah konflik geopolitik yang berterusan di Timur Tengah dan apabila peniaga memberi reaksi kepada kenyataan terbaharu Kesatuan Eropah (EU) untuk melaksanakan Peraturan Penyahhutanan EU (EUDR),” katanya kepada Bernama.

Peniaga itu berkata harga minyak naik lebih tinggi hari ini daripada paras terendah selama dua minggu, dengan pelabur melihat perkembangan di Timur Tengah selain pelan rangsangan China sementara menunggu pengeluaran data inventori minyak rasmi AS.

Pada 5 petang, harga minyak mentah Brent meningkat sebanyak 0.46 peratus kepada US$74.50 setong. 

“Niaga hadapan getah Jepun meningkat sedikit pada Khamis, didorong oleh yen yang lebih lemah dan harga minyak mentah yang lebih tinggi, walaupun harga getah sintetik yang lebih rendah mengehadkan kenaikan,” katanya.

Beliau berkata duta EU bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan undang-undang penyahhutanan penting blok itu selama setahun hingga akhir Disember tahun depan.

"Suruhanjaya Eropah mencadangkan penangguhan bulan ini, selepas mendapat tekanan hebat daripada beberapa negara anggota dan pengeksport produk pertanian utama seperti Brazil dan Malaysia," katanya.

Beliau berkata pengendali dan pedagang besar kini perlu mematuhi EUDR selewat-lewatnya pada 30 Dis, 2025 manakala firma yang lebih kecil dan sederhana akan mempunyai masa sehingga 30 Jun 2026.

Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaporkan harga Getah Mutu Malaysia (GMM) meningkat sebanyak 3.5 sen kepada 861 sen sekilogram manakala lateks pukal kekal pada 756 sen sekilogram.

Pada 5 petang, GMM 20 berada pada 855 sen sekilogram manakala lateks pukal berada pada 755.5 sen sekilogram.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan