PASARAN > BERITA

Jangkaan Pengeluaran Susut Dorong Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi

22/10/2024 09:24 PM

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives mengakhiri dagangan lebih tinggi pada Selasa susulan jangkaan penyusutan pengeluaran dalam minggu-minggu mendatang.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata jangkaan pengeluaran lebih rendah ketika permintaan sebaliknya meningkat telah mendorong kemungkinan paras stok simpanan secara menyeluruh adalah rendah.

“Eksport Indonesia yang lebih kukuh dan kekurangan paras stok simpanan hanya memacu sentimen pasaran.

“Kami melihat paras sokongan harga pada lebih RM4,350 satu tan metrik manakala rintangan pada RM4,480 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Pada akhir dagangan hari ini, kontrak bulan semasa November 2024 menokok RM84 kepada RM4,450 satu tan, Disember 2024 menambah RM89 kepada RM4,411 dan Januari 2025 meningkat RM87 kepada RM4,386.

Selain itu, Februari 2025 meraih RM86 kepada RM4,345 satu tan, Mac 2025 menokok RM77 kepada RM4,299 dan April 2025 menambah RM71 kepada RM4,250.

Jumlah dagangan meningkat kepada 75,113 lot daripada 54,971 pada Isnin manakala kepentingan terbuka susut kepada 254,456 kontrak daripada 255,657 sebelum ini.

Harga MSM fizikal bagi Oktober Selatan meningkat kepada RM4,490 satu tan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan