PASARAN > BERITA

Sentimen Lemah, Bursa Malaysia Rendah Pada Tengah Hari

25/10/2024 03:00 PM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia kekal rendah setakat dagangan tengah hari Jumaat berikutan sentimen negatif di peringkat tempatan yang turut memaparkan prestasi bercampur-campur di peringkat pasaran serantau, kata penganalisis.

Pada 12.30 tengah hari, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.37 mata atau 0.15 peratus kepada 1,629.86 daripada 1,632.23 pada akhir dagangan semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka menokok 0.79 mata kepada 1,633.02.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 556 berbanding 337 manakala 450 kaunter lain tidak berubah, sebanyak 1,159 tidak diniagakan dan 31 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 1.38 bilion unit bernilai RM905.31 juta.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata peniaga akan beralih kepada saham-saham berorientasikan eksport seperti sarung tangan dan teknologi, sekali gus bakal menyaksikan beberapa saham produk sarung tangan meningkat.

Firma pembrokeran itu turut menjangkakan peningkatan dalam sektor pembinaan, hartanah dan tenaga boleh baharu.

“Kami juga memilih sektor perladangan berikutan harga minak sawit mentah yang mengakhiri dagangan terbaharu melebihi tahap tertinggi dalam dua tahun,” katanya dalam nota penyelidikannya hari ini.

Peniaga ActivTrades Anderson Alves pula menjangkakan ekuiti Asia diniagakan positif pada hari ini dengan pemangkin utama risiko aliran pasaran adalah pemilihan presiden Amerika Syarikat (AS).

“Penyusutan dolar AS kelihatan menyangkal sentimen ‘Trump Trade’ pada masa ini, namun perkembangan penting seperti pengumuman data laporan Penggajian Bukan Perladangan (NFP) dan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) dijadualkan pada dua minggu lagi.

 “Berikutan itu, peniaga berkemungkinan menumpukan pergerakan pasaran baru-baru ini ketika Rizab Persekutuan AS melaksanakan tempoh ‘blackout’ (kalangan penggubal dasar dan kakitangan bank pusat AS dilarang membuat sebarang kenyataan monetari kepada orang ramai),” katanya kepada Bernama.

‘Trump Trade’ merujuk kepada sentimen umum dalam kalangan pelabur bahawa kehadiran semula Donald Trump sebagai Presiden, dapat memberi impak positif kepada pasaran.

Dalam pada itu, pendapatan korporat AS terus menyokong sentimen jangka pendek manakala tempoh belian semula korporat yang dibuka semula minggu depan, boleh menyebabkan tekanan belian baharu, katanya.

Di peringkat tempatan, saham wajaran tinggi Maybank meraih dua sen kepada RM10.60, Tenaga Nasional naik enam sen kepada RM14.42 dan IHH Healthcare menokok tujuh sen kepada RM7.48. 

Public Bank sebaliknya merosot sembilan sen kepada RM4.43 dan Kumpulan CIMB tidak berubah pada RM8.13.

Saham aktif menyaksikan Ingenieur Gudang, JAG dan Kinergy Advancement masing-masing turun setengah sen kepada lima sen, 30 sen dan 33 sen. 

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas susut 20.45 mata kepada 12,279.25, Indeks FBM 70 berkurangan 35.14 mata kepada 17,713.17 dan Indeks FBMT 100 merosot 19.26 mata kepada 11,982.37. 

Indeks FBM Emas Syariah meningkat 3.82 mata kepada 12,248.37 dan Indeks FBM ACE menokok 2.12 mata kepada 5,113.06.

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 77.93 mata kepada 19,329.63 manakala Indeks Tenaga turun 8.09 mata kepada 850.94 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.72 mata kepada 176.54 dan Indeks Perladangan menambah 37.71 mata kepada 7,317.82.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan