PASARAN > BERITA

Ringgit Dijangka Diniagakan Mendatar Minggu Depan Menjelang Pemilihan Presiden AS

26/10/2024 04:46 PM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Ringgit dijangka menyaksikan urus niaga mendatar pada minggu depan dalam julat 4.34-4.35 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika pasaran menunggu pemilihan presiden negara maju itu pada 5 November ini.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran juga akan kekal dengan sentimen berhati-hati menjelang pengumuman data  ekonomi AS.

“Maklumat penting itu berkaitan dengan penggajian bukan perladangan yang dijangka lebih perlahan (dari segi pertumbuhan) kepada 140,000 dalam Oktober berbanding 254,000 pada September manakala kadar pengangguran pula dijangka kekal pada 4.1 peratus dalam Oktober,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata pasaran juga menganggap ekonomi AS masih mantap dan Rizab Persekutuan akan bertindak melonggarkan dasar monetarinya secara berperingkat.

“Oleh itu, tumpuan lebih kepada pilihan raya presiden AS --  calon manakah yang akan menang serta apakah keutamaan dasar ekonominya,” katanya.

Beliau berkata Tabung Kewangan Antarabangsa pada minggu ini telah bertindak melakukan semakan semula dan menyemak turun Keluaran Dalam Negara Kasar AS sebanyak 0.1 peratus kepada 3.2 peratus bagi 2025.

“Penyebab utama semakan semula itu adalah susulan keadaan ekonomi Eropah yang lemah, faktor geopolitik yang menjejaskan rantaian bekalan, pertumbuhan China yang perlahan serta dasar perdagangan yang bersifat melindungi (kepentingan negara),” katanya.

Bagi minggu baru berakhir ini, ringgit diniagakan bercampur-campur diasak ketidaktentuan berkaitan keputusan pilihan raya presiden AS, perkembangan geopolitik di Timur Tengah serta pengumuman data inflasi Malaysia yang menunjukkan dasar monetari kekal tidak berubah dalam jangka terdekat.

Asas perbandingan Jumaat hingga Jumaat menyaksikan ringgit susut berbanding dolar AS kepada 4.3405/3450 daripada 4.3045/3075, seminggu lepas.

Ringgit juga diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Berbanding euro, ringgit susut kepada 4.6977/7026 pada Jumaat berbanding 4.6674/6706 seminggu sebelumnya dan turun berbanding pound Britain kepada 5.6348/6407 daripada 5.6109/6148.

Selain itu, ringgit mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.8554/8586 daripada 2.8708/8730 sebelum ini.

Ringgit diniagakan kebanyakannya mengukuh berbanding mata wang ASEAN, termasuk peso Filipina yang meningkat kepada 7.44/7.45 daripada 7.48/7.49.

Mata wang tempatan itu turut meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.8425/8619 daripada 12.9579/9916, naik berbanding rupiah Indonesia kepada 277.3/277.8 daripada 278.0/278.3 dan sebaliknya susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2870/2907 daripada 3.2791/2817 pada minggu sebelumnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan