KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia mencatatkan prestasi tinggi semasa mengakhiri sesi dagangan pagi pada Selasa, mengambil petunjuk daripada optimisme dalam pasaran Amerika Syarikat (AS) semalaman.
Pada pukul 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.49 mata atau 0.28 peratus kepada 1,614.96 daripada 1,610.47 ketika ditutup semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka 1.90 mata lebih tinggi kepada 1,612.37 sebelum bergerak antara 1,609.70 dengan 1,618.75 semasa sesi pagi.
Bagaimanapun, keseluruhan pasaran adalah negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 499 berbanding 323, manakala 473 kaunter kekal tidak berubah, 1,185 kaunter tidak diniagakan dan 123 yang lain digantung.
Jumlah dagangan mencecah 1.49 bilion unit bernilai RM986.7 juta.
Malacca Securities Sdn Bhd menjelaskan pasaran AS ditutup tinggi menjelang pilihan raya AS yang semakin hampir manakala prestasi kewangan korporat utama dan data ekonomi akan menetapkan hala tuju bagi keputusan mengenai pengurangan kadar faedah seterusnya.
Pasaran Eropah juga ditutup tinggi, manakala pasaran Asia berakhir dengan prestasi bercampur-campur semalam ekoran ketidaktentuan politik di Jepun.
“Memandangkan pasaran AS berubah positif selepas penjualan yang berterusan, ditambah dengan pengukuhan dolar AS, kami percaya minat belian mungkin meluas sehingga ke pasaran tempatan, terutama dalam sektor teknologi dan sarung tangan,” jelasnya dalam nota penyelidikan.
FBM KLCI dan saham bermodal kecil memulakan minggu ini dengan prestasi rendah apabila tekanan jualan berterusan di keseluruhan pasaran.
Menurut firma pembrokeran itu kaunter minyak dan gas mungkin tidak berubah, disebabkan harga minyak mentah Brent yang lebih rendah.
Bagaimanapun, saham perladangan dan berkaitan emas berpotensi mencatatkan aliran positif memandangkan minyak sawit mentah (MSM) dan emas kekal dalam aliran meningkat, tambahnya.
Pada rehat tengah hari, kaunter berwajaran tinggi yang mencatat kenaikan diterajui oleh YTL Corporation dan YTL Power, masing-masing naik sembilan sen kepada RM2.07 dan RM3.15.
Maybank menambah enam sen kepada RM10.46 manakala kaunter telekomunikasi Maxis meningkat lapan sen kepada RM3.70 dan CelcomDigi naik empat sen kepada RM3.51.
OB Holdings yang baru disenaraikan di Pasaran ACE menjadi kaunter paling aktif apabila menokok satu sen kepada 25 sen, manakala Talam Transform kurang setengah sen kepada dua sen, Capital A naik 1.5 sen kepada RM1.00, dan MyEG turun 1.5 sen kepada 86.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 15.51 mata kepada 12,174.35, Indeks FBMT 100 meningkat 19.13 mata kepada 11,886.60, dan Indeks FBM Emas Syariah menambah 8.40 mata kepada 12,143.58.
Bagaimanapun, Indeks FBM 70 susut 23.28 mata kepada 17,622.43 dan Indeks FBM ACE turun 16.87 mata kepada 5,023.52.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 4.13 mata kepada 19,129.55, Indeks Tenaga turun 2.18 mata kepada 835.39 dan Indeks Perladangan menokok 0.58 mata kepada 7,310.87.
Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian kurang 0.73 mata kepada 174.28.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial