PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Akhiri Sesi Dagangan Pagi Lebih Rendah

30/10/2024 02:14 PM

KUALA LUMPUR, 30 Okt -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi lebih rendah apabila pelabur teragak-agak untuk mengambil langkah menjelang pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) minggu depan dan data ekonomi akan datang yang boleh mempengaruhi Rizab Persekutuan AS membuat keputusan terhadap kadar faedahnya.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 5.18 mata kepada 1,609.90 daripada 1,615.08 ketika ditutup semalam.

Indeks penanda aras dibuka 0.18 mata lebih rendah kepada 1,614.90 dan bergerak antara 1,606.84 dan 1,615.36 sepanjang sesi dagangan.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 605 berbanding 281, manakala 428 kaunter tidak berubah, 1,178 tidak diniagakan dan 123 digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.31 bilion unit bernilai RM1.11 bilion.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata sentimen pasaran adalah lemah dengan FBM KLCI berkemungkinan besar menyusut kepada paras sokongan psikologi 1,600.

"Sentimen secara keseluruhannya kekal berhati-hati seperti yang ditunjukkan oleh jumlah dagangan yang rendah," katanya.

Petunjuk daripada serantau adalah suram kerana kebanyakan pasaran berada dalam keadaan rendah disebabkan peserta pasaran menunggu keluaran dalam negara kasar suku ketiga AS yang akan dikeluarkan lewat malam ini, diikuti oleh indeks harga perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE) teras AS esok.

Syarikat gergasi teknologi juga dijadualkan untuk mengeluarkan keputusan kewangan mereka tidak lama lagi.

Di bursa tempatan, Maxis mendahului senarai kejatuhan, susut 13 sen kepada RM3.67. Sime Darby jatuh 10 sen kepada RM2.35, CIMB turun lapan sen kepada RM8.01 dan Public Bank susut dua sen kepada RM4.44, manakala HLFG menambah enam sen kepada RM18.54.

Dalam kalangan kaunter aktif, MyEG turun 2.5 sen kepada 84 sen, Talam Transform dan Sorento Capital masing-masing tidak berubah kepada 2.0 sen dan 37 sen dan Bahvest jatuh satu sen kepada 81.5 sen, manakala Niche Capital menokok satu sen kepada 19.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 35.20 mata kepada 12,144.75, Indeks FBMT 100 menyusut 30.85 mata kepada 11,858.48 dan Indeks FBM Emas Shariah jatuh 31.09 mata kepada 12,117.28.

Indeks FBM 70 susut 18.78 mata kepada 17,614.72 dan Indeks ACE FBM berkurangan 22.83 mata kepada 5,009.45.

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 63.92 mata kepada 19,095.03, Indeks Perladangan turun 40.20 mata kepada 7,295.14, Indeks Tenaga jatuh 4.07 mata kepada 831.89 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.08 mata kepada 174.87.

-- BERNAMA   

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan