PASARAN > BERITA

Pasaran Getah Ditutup Bercampur-campur

06/11/2024 06:08 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup bercampur-campur pada Rabu, disokong oleh peningkatan pasaran niaga hadapan serantau dan prestasi ringgit yang lemah berbanding dolar AS, kata seorang peniaga.

Beliau berkata sentimen pasaran juga dipacu oleh data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang kukuh berikutan peniaga memantau keputusan pilihan raya AS.

"Bagaimanapun, kenaikan seterusnya dihadkan oleh penurunan harga minyak mentah," katanya kepada Bernama.

Peniaga itu berkata niaga hadapan getah Jepun melonjak untuk dua sesi berturut-turut pada Rabu, mencecah paras tertinggi dalam seminggu, didorong oleh data ekonomi yang kukuh daripada pengguna utama China dan kemerosotan mata wang yen.

"Harga minyak susut pada Rabu selepas data industri menunjukkan pengumpulan inventori AS yang lebih tinggi daripada jangkaan, sementara pasaran kekal fokus pada potensi gangguan bekalan akibat taufan di Teluk Mexico.

"Data Institut Petroleum Amerika menunjukkan inventori minyak AS melepasi jangkaan, melonjak kira-kira 3.1 juta tong pada minggu ini sehingga 1 Nov, 2024," katanya.

Pada 5 petang, harga minyak mentah Brent susut 1.75 peratus kepada US$74.23 setong.

Beliau berkata aktiviti sektor perkhidmatan AS meningkat di luar jangkaan pada Oktober kepada paras tertinggi lebih daripada dua tahun, dan sektor pekerjaan juga mengukuh, membuktikan bahawa ekonomi berada dalam keadaan stabil ketika negara itu dalam persekitaran pilihan raya presiden.

"Institut Pengurusan Bekalan (ISM) melaporkan bahawa indeks pengurus pembelian (PMI) bukan pembuatannya meningkat kepada 56.0 bulan lepas daripada 54.9 pada September,” katanya.

Menurut Lembaga Getah Malaysia (LGM), harga Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) naik 1.5 sen kepada 871 sen sekilogram, manakala lateks pukal susut lapan sen kepada 694 sekilogram.

Pada 5 petang, SMR 20 berada pada 873.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal pada 687 sen sekilogram.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan