Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Khamis berikutan prospek pengeluaran yang lebih lemah di Malaysia," kata seorang peniaga.
Peniaga minyak sawit David Ng berkata permintaan yang dijangka lebih tinggi bagi minyak sawit dengan Indonesia ingin meningkatkan mandat biofuelnya, turut meningkatkan sentimen pasaran.
“Sentimen pasaran juga dipengaruhi oleh harga minyak kacang soya yang lebih tinggi. Oleh itu, kami melihat paras sokongan pada RM4,900 satu tan dan paras rintangan pada RM5,050 satu tan,” katanya kepada Bernama.
Dalam pada itu, Penganalisis Kanan Fastmarket Palm Oil Analytics Sathia Varqa berkata niaga hadapan MSM ditutup lebih tinggi selepas sesi dagangan yang tidak menentu hasil daripada gabungan momentum pengambilan untung dan belian.
Beliau berkata anggaran pengeluaran yang lebih rendah, prestasi minyak sayuran berkaitan yang lebih tinggi dan pandangan mengenai peningkatan permintaan minyak sawit dalam segmen biodiesel menyokong pasaran yang lebih tinggi hari ini dengan aktiviti pengambilan untung yang berselerak.
"Data Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) yang dikeluarkan selepas sesi tengah hari menunjukkan pengeluaran pada Oktober tidak berubah berbanding September, berikutan penurunan besar dalam pengeluaran dari Semenanjung, mengimbangi pertumbuhan dari negeri Sabah," katanya.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata harga MSM telah melepasi RM5,000 setiap tan untuk kali pertama sejak Jun 2022.
Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta November 2024 dan Disember 2024 meningkat RM39 masing-masing kepada RM5,038 dan RM4,996 setiap tan manakala Januari 2025 berkembang RM35 kepada RM4,952 setiap tan.
Februari 2025 bertambah RM35 kepada RM4,897 setiap tan, Mac 2025 naik RM27 kepada RM4,804 setiap tan dan April 2025 bertambah RM13 kepada RM4,690 setiap tan.
Jumlah dagangan melonjak kepada 104,193 lot daripada 78,859 lot pada Rabu manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 245,610 kontrak daripada 243,835 kontrak sebelumnya.
Harga MSM fizikal untuk November Selatan menokok RM50 kepada RM5,070 setiap tan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial