PASARAN > BERITA

Ringgit Dijangka Diniagakan Tinggi Minggu Depan

09/11/2024 11:08 AM

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) -- Ringgit dijangka diniagakan lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan, memandangkan perbezaan kadar faedah dilihat memihak kepada ringgit, dengan Bank Negara Malaysia (BNM) mungkin mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) tidak berubah sepanjang tahun depan, kata pakar ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kebimbangan terhadap dasar Presiden AS Donald Trump tahun depan boleh mendorong peniaga dan pelabur mengambil pendekatan lebih berhati-hati.

Beliau berkata ringgit sewajarnya meningkat kerana jurang kadar faedah dilihat memihak kepada ringgit kerana BNM mungkin mahu mengekalkan OPR pada kadar tidak berubah sepanjang tahun depan.

"Bagaimanapun, kebimbangan terhadap dasar Presiden AS tahun depan boleh membuatkan peniaga dan pelabur ragu-ragu justeru, mereka akan lebih berhati-hati.

"Buat masa ini, paras sokongan dan rintangan masing-masing pada RM4.3259 dan RM4.4390. USD/MYR dijangka bergerak sekitar RM4.37 hingga RM4.38 minggu depan," katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata data penting untuk minggu depan adalah Indeks Harga Pengguna AS dan Indeks Harga Pengeluar AS yang masing-masing akan dikeluarkan pada Rabu dan Khamis.

"Bagi Malaysia, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga 2024 akan diumumkan pada Jumaat dengan konsensus mengunjurkan pertumbuhan 5.3 peratus.

"Sepanjang tempoh itu, kalangan pegawai Rizab Persekutuan AS (Fed) akan berkongsi pandangan mereka mengenai ekonomi dan dasar terutamanya dalam konteks keputusan Pilihan Raya Presiden AS yang baru-baru ini dan pengaruhnya ke atas pendirian dasar monetari Fed," katanya.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, ringgit susut berbanding dolar AS kepada 4.3800/3850 daripada 4.3780/3835 minggu lepas.

Ringgit diniagakan lebih rendah kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.

Bagaimanapun, mata wang tempatan meningkat berbanding euro, ditutup pada 4.7212/7266 pada Jumaat daripada 5.6502/6573 minggu lepas, dan rendah berbanding pound British kepada 5.6765/6830 daripada 5.6502/6573.

Unit domestik turun berbanding yen Jepun kepada 2.8763/8798 daripada 2.8652/8690 minggu lepas.

Ringgit juga didagangkan rendah kebanyakannya berbanding mata wang negara ASEAN.

Ringgit susut berbanding peso Filipina kepada 7.51/7.53 daripada 7.49/7.51 ketika ditutup minggu lepas, dan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.3149/3190 daripada 3.3054/3098.

Mata wang tempatan juga lemah berbanding rupiah Indonesia kepada 279.4/279.9 daripada 278.2/278.7 namun, tinggi berbanding baht Thailand kepada 12.8710/8925 daripada 12.9103/9322 sebelum ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan