Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka rendah pada sesi awal dagangan hari ini, dipengaruhi oleh prestasi hambar semalaman Wall Street, kata penganalisis.
Pada jam 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 4.38 mata kepada 1,604.05 daripada penutupan semalam pada 1,608.43.
Bagaimanapun, indeks dibuka 0.18 mata lebih tinggi pada 1,608.61.
Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 213 berbanding 107, sebanyak 272 kaunter tidak berubah, 1,862 tidak didagangkan manakala 13 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 192.19 juta unit bernilai RM115.28 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata pasaran berhenti seketika selepas pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) berakhir dan menjelang data Indeks Harga Pengguna (IHP) AS yang akan dikeluarkan malam ini.
“Wall Street ditutup lebih rendah apabila pasaran berhenti seketika selepas mengalami beberapa masalah penyesuaian berikutan Wall Street catat rekod tertinggi baharu.
“Kami berharap lonjakan harga minyak sawit mentah baru-baru ini akan menarik minat belian dalam saham perladangan,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata peserta pasaran akan memantau dengan teliti penunjuk ekonomi utama di AS termasuk IHP, Indeks Harga Pengeluar, Jualan Runcit dan data keluaran dalam negara kasar suku ketiga 2024 Malaysia.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Malayan Banking Bhd susut enam sen kepada RM10.42, CIMB Group, Public Bank and IHH Healthcare turun dua sen masing-masing kepada RM8.18, RM4.42 dan RM7.17 manakala Tenaga Nasional naik empat sen kepada RM14.14.
Bagi saham aktif, Life Water yang baru disenaraikan menokok 16.5 sen kepada 81.5 sen, Mpire Global meningkat satu sen kepada 22.5 sen, Azam Jaya menambah dua sen kepada RM1.26. Sorenso Capital tidak berubah pada 40 sen manakala OB Holdings berkurangan satu sen kepada 21.5 sen.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas Shariah merosot 17.76 mata kepada 12,129.86, Indeks FBM Emas berkurangan 25.09 mata kepada 12,154.96, Indeks FBMT 100 turun 25.16 mata kepada 11,860.74 dan Indeks FBM 70 menguncup 11.08 mata kepada 17,785.45 dan Indeks FBM ACE susut 13.40 mata kepada 5,118.47.
Prestasi sektor menyaksikan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 0.65 mata kepada 168.25, Indeks Tenaga susut 1.01 mata kepada 823.95, Indeks Perladangan berkurangan 16.07 mata kepada 7,863.89 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 52.10 mata kepada 19,092.21.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial