PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Ditutup Rendah Berikutan Jualan Saham Wajaran Tinggi Terpilih

20/11/2024 07:36 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini berikutan penjualan berterusan dalam saham wajaran tinggi terpilih, diteraju oleh sektor perkhidmatan kewangan dan utiliti ketika bursa serantau mencatat prestasi bercampur-campur.

Maybank dan Tenaga Nasional masing-masing menyusut 12 sen kepada RM10.12 dan RM14.30 manakala Public Bank rendah 3.0 sen kepada RM4.41, dengan saham-saham ini mengurangkan indeks komposit menerusi kombinasi 4.64 mata.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 4.16 mata atau 0.26 peratus untuk ditutup kepada 1,598.18 daripada 1,602.34 semalam.

Indeks petunjuk pasaran yang dibuka 0.54 mata lebih tinggi kepada 1,602.88, bergerak antara 1,594.51 dan 1,606.28 semasa sesi dagangan.

Pasaran lebih luas adalah negatif, dengan kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 546 berbanding 457 manakala 527 kaunter kekal tidak berubah, 936 tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung dagangan. 

Jumlah dagangan menyusut kepada 2.72 bilion unit bernilai RM2.44 bilion berbanding 2.83 bilion unit bernilai RM2.08 bilion semalam.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI lebih rendah hari ini berikutan pelabur melaksanakan pendekatan berhati-hati di tengah-tengah peningkatan risiko geopolitik.

“Indeks ini menyusut di bawah ambang psikologi kritikal 1,600, kali kedua pada bulan ini -- dan yang kedua sejak September -- ia ditutup di bawah paras utama ini.

“Penurunan ini mencerminkan kebimbangan yang semakin meningkat di pasaran berikutan kebenaran Presiden Joe Biden kepada Ukraine untuk menggunakan peluru berpandu Amerika Syarikat jarak jauh terhadap Rusia dan sokongan Presiden Vladimir Putin terhadap doktrin nuklear yang telah dipinda, dengan kedua-dua faktor ini telah meningkatkan ketegangan global,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, beliau berkata pasaran Asia diniagakan bercampur-campur manakala indeks China ditutup lebih tinggi, didorong oleh perbincangan pada Sidang Kemuncak Pelaburan Pemimpin Kewangan Global yang dianjurkan oleh Pihak Berkuasa Kewangan Hong Kong.

“Penganalisis percaya bahawa kesan dasar perlindungan era Donald Trump mungkin tidak seburuk yang dijangkakan sebelum ini, dengan sidang kemuncak itu memberikan prospek yang lebih berhati-hati terhadap kesan yang mungkin timbul.

“Bagaimanapun, dengan beberapa jawatan utama dalam kabinet Trump masih belum dimuktamadkan, pengumuman mengenai individu yang tidak berpengalaman dalam pentadbiran awam boleh mencetuskan ketidaktentuan ekonomi dan pasaran,” katanya.

Beliau berkata perhatian pasaran akan terarah kepada laporan pendapatan suku ketiga NVIDIA, dengan anggaran konsensus mengunjurkan pendapatan sesaham sebanyak US$0.75.

“Sebagai peneraju dalam kecerdasan buatan, prestasi NVIDIA dijangka memberikan pandangan yang bermanfaat mengenai prestasi sektor dan sentimen pasaran lebih luas, yang berpotensi mempengaruhi corak dagangan pada sesi akan datang.

“Oleh itu, pendapatan suku ketiga NVIDIA boleh memangkinkan pembangunan pusat data Malaysia, yang berpotensi memacu prestasi saham berkaitan data yang disenaraikan di Bursa Malaysia,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi lain, YTL Corporation susut 4.0 sen kepada RM1.96, CIMB rendah 3.0 sen kepada RM8.21, Nestle berkurangan 94 sen kepada RM98 manakala CelcomDigi menokok 13 sen kepada RM3.53 dan Sime naik 7.0 sen kepada RM2.30.

Bagi saham aktif, Capital A naik 4.0 sen kepada RM1.07, Cape EMS rendah 2.5 sen kepada 36 sen manakala EA Holdings, Permaju Industries dan Oversea Enterprise tidak berubah masing-masing pada setengah sen iaitu 4.0 sen dan 5.0 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 30.07 mata kepada 12,174.93, Indeks FBM 70 naik 58.50 mata kepada 17,976.65,Indeks FBM Emas rendah 10.23 mata kepada 12,165.88, Indeks FBMT 100 susut 10.58 mata kepada 11,866.80, dan Indeks ACE FBM berkurangan 0.66 mata kepada 5,189.60.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.51 mata kepada 170.94, Indeks Perladangan naik 10.16 mata kepada 7,674.62, Indeks Tenaga susut 1.19 mata kepada 828.91, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menyusut 100.98 mata kepada 19,023.24.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.37 bilion unit bernilai RM2.19 bilion berbanding 1.47 bilion unit bernilai RM1.83 bilion semalam.

Jumlah dagangan waran susut kepada 849.63 juta unit bernilai RM97.73 juta daripada 928.20 juta unit bernilai RM118.86 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 495.86 juta unit bernilai RM155.87 juta berbanding 427.03 juta unit bernilai RM138.67 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 272.38 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (363.76 juta), pembinaan (63.42 juta), teknologi (168.74 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (84.34 juta), hartanah (148.35 juta), perladangan (33.32 juta), REIT (15.31 juta), dana tertutup (18,000), tenaga (70.31 juta), penjagaan kesihatan (55.67 juta), telekomunikasi dan media (35.02 juta), pengangkutan dan logistik (26.63 juta), utiliti (33.30 juta) dan amanah perniagaan (99,500).

-- BERNAMA   


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan