PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Ditutup Tinggi

22/11/2024 07:23 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri minggu ini dengan prestasi tinggi pada Jumaat, didorong oleh pembelian berterusan dalam saham wajaran tinggi terpilih yang diterajui Tenaga Nasional dalam persekitaran prestasi yang kebanyakannya optimis di bursa saham serantau.

Saham Tenaga Nasional menambah 20 sen kepada RM14.00 dengan 10.85 juta saham bertukar tangan.

Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.10 mata atau 0.07 peratus kepada 1,589.78 daripada 1,588.68 ketika ditutup semalam.

Indeks penanda aras itu yang dibuka 4.36 mata lebih tinggi kepada 1,593.04, bergerak antara 1,587.74 hingga 1,593.85 sepanjang sesi dagangan hari ini.

Bagaimanapun, lingkungan pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 553 berbanding 3497 manakala 509 kaunter kekal tidak berubah, 924 kaunter tidak diniagakan dan 23 digantung.

Jumlah dagangan berkurang kepada 2.59 bilion unit bernilai RM2.28 bilion daripada 3.44 bilion unit bernilai RM2.50 bilion pada Khamis.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata prestasi pasaran tempatan yang lebih baik, menjejaki keuntungan Wall Street apabila pelabur menghilangkan kebimbangan awal terhadap unjuran hasil Nvidia Corp.

“Prestasi kukuh sektor teknologi global, diterajui oleh keputusan memberangsangkan Nvidia, berkemungkinan besar mempengaruhi pasaran Asia khususnya di Korea Selatan dan Taiwan, di mana industri semikonduktor memegang kedudukan dominan.

“Walaupun begitu, ketegangan geopolitik tetap menjadi kebimbangan apabila Presiden Rusia Vladimir Putin mengumumkan bahawa negara itu telah menembak peluru berpandu balistik ke Ukraine,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI ditutup tinggi hari ini, mencerminkan momentum positif dari Wall Street, tetapi indeks itu kekal di bawah ambang psikologi kritikal 1,600.

"Walaupun keuntungan menggalakkan, ia kelihatan lemah dengan tekanan berterusan daripada saham utiliti berprestasi rendah yang menjejaskan pasaran lebih luas," katanya.

Antara saham berwajaran tinggi, CIMB menambah 1.0 sen kepada RM8.22, IHH Healthcare meningkat 2.0 sen kepada RM7.19, Public Bank dan Hong Leong Bank merosot 2.0 sen masing-masing kepada RM4.38 dan RM20.48 manakala Maybank tidak berubah pada RM10.20.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas Shariah naik 54.62 mata kepada 12,125.51, Indeks FBM 70 menambah 90.36 mata kepada 17,934.02, Indeks FBM Emas meningkat 23.38 mata kepada 12,110.99, Indeks FBMT 100 melonjak 23.21 mata kepada 11,814.43 bagaimanapun Indeks FBM ACE jatuh 34.87 mata kepada 5,163.07.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 1.27 mata kepada 173.28, Indeks Perladangan merosot 27.86 mata kepada 7,538.52, Indeks Tenaga turun 5.98 mata kepada 820.12 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 5.94mata kepada 19,037.07.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama susut kepada 1.32 bilion unit bernilai RM2.07 bilion daripada 1.56 bilion unit bernilai RM2.22 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran menguncup kepada 879.56 juta unit bernilai RM100.89 juta daripada 1.11 bilion unit bernilai RM132.11 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE jatuh sebanyak 391.20 juta unit bernilai RM108.95 juta berbanding 768.09 juta unit bernilai RM140.87 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 249.21 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (284.97 juta), pembinaan (81.81 juta), teknologi (181.18 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (55.33 juta), hartanah (156.09 juta), perladangan (29.67 juta), REIT (9.50 juta), dana tertutup (145,200), tenaga (85.30 juta), penjagaan kesihatan (42.49 juta), telekomunikasi dan media (17.06 juta), pengangkutan dan logistik (27.04 juta), utiliti (95.57 juta), serta amanah perniagaan (1.36 juta).

-- BERNAMA   

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan