PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Turun Sedikit Ketika Akhiri Sesi Pagi, Kaunter Rugi Dominasi Pasaran

28/11/2024 02:27 PM

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia mengehadkan kenaikan sebelum ini untuk mengakhiri sesi pagi dengan turun sedikit berikutan jualan melebihi pembelian disebabkan kekurangan pemangkin terutamanya dengan pasaran AS ditutup pada Khamis untuk cuti Hari Kesyukuran.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 1.65 mata, atau 0.1 peratus, kepada 1,602.60, daripada 1,604.25 ketika ditutup Rabu. Indeks petunjuk pasaran dibuka 2.07 mata lebih tinggi kepada 1,606.32 dan bergerak antara 1,601.19 dan 1,608.01 sepanjang sesi.

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 543 berbanding 329 manakala 451 kaunter kekal tidak berubah, 1,146 tidak diniagakan dan 89 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.47 bilion unit bernilai RM1.31 bilion.

Langkah memperkenalkan tarif oleh bakal Presiden AS Donald Trump, ditambah dengan data indeks perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE) AS terkini untuk Oktober yang seperti dijangkakan, menyebabkan bursa serantau mengambil sikap berhati-hati, kata penganalisis.

Selain itu, sesetengah pasaran agak lengang kerana pasaran AS ditutup untuk cuti Hari Kesyukuran.

PCE teras AS meningkat 2.8 peratus pada Oktober, yang mungkin menjejaskan keputusan kadar faedah Rizab Persekutuan yang seterusnya kerana inflasi kekal tidak berubah.

Walaupun bimbang dengan faktor-faktor berkenaan, kenaikan harga saham-saham mewah membantu FBM KLCI kekal di atas paras 1,600.

Saham wajaran tinggi Petronas Chemicals mendahului saham yang jatuh, turun sembilan sen kepada RM4.64 manakala RHB Bank jatuh 10 sen kepada RM6.68 dan CIMB susut empat sen kepada RM8.33. Hong Leong Bank menurun 16 sen kepada RM20.64.

Sebaliknya, kaunter perladangan KLK terus memulih, meningkat 36 sen kepada RM20.86 manakala Nestlé naik RM1.08 kepada RM96.08 dan YTL Power melonjak empat sen kepada RM3.46, yang membantu menyekat kejatuhan FBM KLCI.

Antara saham aktif, Genetec Technology menokok empat sen kepada RM1.21, Nationgate turun 26 sen kepada RM2.09 dan Notion Vtec naik empat sen kepada RM1.24. Microlink Solutions susut 2.5 sen kepada 9.0 sen dan JCY International turun setengah sen kepada 40 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 13.04 mata kepada 12,177.93, Indeks FBMT 100 berkurangan 11.51 mata kepada 11,876.04 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 1.72 mata kepada 12,110.70. Indeks FBM 70 berkurangan 14.69 mata kepada 17,904.22 dan Indeks FBM ACE turun 30.35 mata kepada 5,148.39.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan jatuh 54.25 mata kepada 19,182.59, Indeks Tenaga susut 6.37 mata kepada 812.32 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menurun 1.07 mata kepada 170.62.

Bagaimanapun, Indeks Perladangan menokok 35.33 mata kepada 7,516.63.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan