PASARAN > BERITA

Ringgit Dijangka Didagangkan Dalam Julat 4.42 Hingga 4.44 Berbanding Dolar AS Minggu Depan

30/11/2024 10:14 AM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) -- Ringgit dijangka didagangkan dalam julat 4.4275 hingga 4.4475 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan, dengan sedikit kecenderungan meningkat, didorong jangkaan pengurangan kadar faedah AS pada Disember.

Mesyuarat dasar Rizab Persekutuan AS (Fed) seterusnya dijadualkan pada 17 dan 18 Dis, 2024.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata untuk menjangkakan pergerakan dolar AS minggu depan adalah sesuatu yang kekal mencabar, terutama dengan tindakan Presiden Donald Trump yang sukar diduga.

“Pasaran pada masa ini menganggap ancaman tarif Trump sebagai strategi rundingan untuk mendapatkan konsesi daripada rakan dagang, dan bukannya pengisytiharan perang perdagangan yang betul-betul,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata perhatian juga akan beralih kepada data pekerjaan AS pada 6 Disember.

“Jika laporan itu menepati atau lebih rendah daripada jangkaan, perkara itu mungkin mengukuhkan kemungkinan pengurangan kadar faedah oleh Fed pada Disember.

“Sebaliknya, laporan dengan data yang kukuh boleh menimbulkan ketidaktentuan, serta menyokong dolar AS,” katanya.

Ringgit mengalami prestasi bercampur-campur berbanding dolar AS minggu ini namun, meningkat dengan disokong oleh sentimen lebih baik susulan penurunan hasil bon AS, minit mesyuarat Fed yang menunjukkan pendirian kurang agresif, serta kenaikan nilai mata wang serantau secara keseluruhannya.

Bagaimanapun, ringgit menghadapi tekanan ketika pertengahan minggu ekoran kebimbangan terhadap kemungkinan tarif AS ke atas Mexico, Kanada, dan China.

Pasaran mengalami dagangan suram kemudiannya, dengan aktiviti lebih terhad berikutan cuti Hari Kesyukuran di AS.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, ringgit meningkat berbanding dolar AS kepada 4.4425/4495 daripada 4.4660/4710 minggu lepas.

Bagi minggu ini, mata wang tempatan diniagakan rendah berbanding beberapa mata wang utama.

Ringgit susut berbanding euro kepada 4.6899/6973 daripada 4.6455/6507 pada Jumaat minggu lepas, dan turun berbanding pound British kepada 5.6384/6473 daripada 5.5870/5932.

Unit tempatan juga rendah berbanding yen Jepun kepada 2.9589/9638 daripada 2.8906/8942.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN.

Mata wang domestik susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3146/3200 daripada 3.3101/3141 ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas, dan menguncup berbanding baht Thailand kepada 12.9459/9738 daripada 12.9068/9276.

Bagaimanapun, mata wang tempatan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 280.2/280.8 daripada 281.2/281.7, dan kekal tidak berubah berbanding peso Filipina pada 7.58/7.59.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan