Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Kebimbangan mengenai ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang meningkat, kadar faedah AS yang tidak menentu dan ringgit yang mengukuh berbanding dolar AS menjejaskan sentimen pasaran getah Kuala Lumpur, kata peniaga.
“Bagaimanapun, penurunan seterusnya dikekang oleh harga minyak mentah yang stabil dan banjir berpanjangan di beberapa kawasan negara pengeluar utama getah asli, termasuk Malaysia dan Thailand,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata pasaran tempatan ditutup bercampur-campur seiring dengan prestasi pasaran serantau.
Katanya niaga hadapan getah Jepun meningkat pada Rabu, disokong oleh yen yang rendah, aktiviti perkhidmatan yang meningkat di Jepun dan kebimbangan mengenai bekalan di China tetapi sentimen lemah berikutan perkembangan terkini perang perdagangan AS dan China yang mengehadkan kenaikan.
Sementara itu, peniaga tersebut berkata harga minyak kekal stabil pada Rabu selepas kenaikan mendadak pada sesi sebelumnya apabila Israel mengancam untuk menyerang Lubnan sekiranya perjanjian gencatan senjata gagal.
“Peserta pasaran sedang mempertimbangkan inventori minyak mentah dan bahan api AS yang lebih tinggi serta kemungkinan OPEC + (Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya) meneruskan pengurangan bekalan,” katanya.
Pemangku Gabenor Pihak Berkuasa Getah Thailand (RAOT) Sukatus Tarngwiriyakul berkata banjir di wilayah selatan Thailand boleh mengurangkan pengeluaran getah sebanyak 320,000 tan metrik daripada sasaran kerajaan sebanyak 4.78 juta tan metrik pada tahun ini.
Katanya pengurangan pengeluaran akan menjejaskan penghantaran getah dari Thailand pada 2024.
Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaporkan harga Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) menurun 3.5 sen kepada 911.5 sen sekilogram manakala lateks pukal meningkat 0.5 sen kepada 675.5 sen sekilogram.
Pada 5 petang, SMR 20 sebanyak 917.0 sen sekilogram dan lateks pukal 679.5 sen sekilogram.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial