PASARAN > BERITA

RINGGIT TERUS ALAMI PENURUNAN SELEPAS DATA IHP AS DIKELUARKAN

12/12/2024 07:45 PM

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Ringgit ditutup lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk hari keempat berturut-turut pada Khamis selepas Indeks Harga Pengguna (IHP) AS meningkat paling tinggi dalam tempoh tujuh bulan, walaupun ia seiring dengan unjuran.

Pada 6 petang, mata wang tempatan merosot kepada 4.4350/4395 berbanding dolar AS, daripada 4.4300/4355 ketika ditutup semalam.

IHP AS bagi November meningkat 2.7 peratus, lebih tinggi daripada 2.6 peratus pada bulan sebelumnya.

IHP teras, sebaliknya kekal kepada 3.3 peratus untuk bulan ketiga berturut-turut daripada 3.2 peratus pada Ogos, sekali gus menunjukkan kadar inflasi AS kekal tinggi.

Dalam pada itu, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kadar inflasi yang kekal bermakna Rizab Persekutuan AS (Fed) mungkin mahu mengubah strategi pelonggaran dasar monetarinya tahun depan.

"Ini mungkin bermakna kurang penurunan kadar faedah atau mungkin tiada penurunan kadar faedah langsung. Keadaan ini sangat menyokong dolar AS dan oleh itu ringgit boleh kekal terikat dalam julat," katanya kepada Bernama.

Ringgit diniagakan lebih rendah berbanding mata wang utama yang lain.

Ringgit merosot berbanding pound British kepada 5.6591/6648 daripada 5.6389/6459, turun berbanding euro kepada 4.6612/6659 daripada 4.6515/6573 selain susut berbanding yen Jepun kepada 2.9074/9106 daripada 2.9013/9051 pada penutupan Rabu.

Mata wang tempatan juga diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit menguncup berbanding dolar Singapura kepada 3.3008/3044 daripada 3.2937/2980 pada Rabu, berkurang berbanding baht Thailand kepada 13.1058/1261 daripada 13.0640/0875 dan susut berbanding peso Filipina kepada 7.61/7.62 daripada 7.59/7.61 sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit meningkat sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 278.1/278.5 daripada 278.2/278.7 sebelumnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan