Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka menyaksikan dagangan kecil ketika musim cuti Krismas dengan unjuran harga US$2,585 hingga US$2,635 di tengah-tengah sentimen pasaran yang berhati-hati serta aktiviti akhir tahun yang suram.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata logam berharga itu kekal di bawah tekanan susulan pengukuhan dolar AS dan peningkatan hasil Perbendaharaan negara maju itu dengan sokongan akibat ketidaktentuan geopolitik terus menyusut.
“Bagaimanapun, momentum spekulatif bagi melonjakkan harga kelihatan kian suram menjelang berakhirnya tahun ini.
“Secara asasnya, permintaan terhadap emas kekal memberangsangkan, didorong oleh pembelian daripada bank-bank pusat, termasuk dalam pasaran sedang pesat membangun seperti China, India dan Turkiye selain minat runcit yang stabil di Asia,” katanya kepada Bernama.
Bagi asas Jumaat hingga Jumaat, kontrak bulan semasa Disember 2024 mengakhiri dagangan minggu ini dengan lebih rendah pada US$2,607.00 setiap auns troy daripada US$2,678.30 setiap auns troy pada minggu lepas manakala kontrak Januari 2025 berkurangan kepada US$2,620.10 setiap auns troy daripada US$2,691.40.
Kontrak Februari 2025, Mac 2025 dan April 2025 juga ditutup rendah pada US$2,630.30 setiap auns troy daripada US$2,701.50 setiap auns troy pada minggu lepas.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 144 lot daripada 210 lot pada minggu lepas manakala kepentingan terbuka turun kepada 24 kontrak daripada 63 kontrak sebelum ini.
Mengikut penetapan London Bullion Market Association pada 19 Dis, harga emas fizikal berada pada US$2,592.45 setiap auns troy.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial