PASARAN > BERITA

Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi Berikutan Pemulihan Pasaran Minyak Global

23/12/2024 09:55 PM

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Isnin, didorong kenaikan semula harga minyak kacang soya di Bursa Komoditi Dalian dan niaga hadapan minyak biji sesawi Bursa Komoditi Zhengzhou, kata peniaga.

Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group beribu pejabat di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata laporan mengenai Indonesia menaikkan levi eksport terhadap MSM kepada 10 peratus daripada 7.5 peratus di samping pelaksanaan mandat biodiesel B40 mulai 1 Jan 2025 telah memberikan sokongan kepada sentimen pasaran yang optimis.

"Selain itu, permintaan dari India, China dan Pakistan yang kembali meningkat telah memberikan sokongan. Negara-negara ini agak aktif dalam pembelian minyak sawit minggu lepas selepas pembetulan harga yang besar," katanya kepada Bernama.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata kebimbangan mengenai pengeluaran MSM yang lebih perlahan telah menyokong komoditi itu diniagakan lebih tinggi berikutan permintaan meningkat.

“Kami mengesan paras sokongan pada RM4,400 satu tan dan rintangan pada RM4,600 satu tan,” katanya.

Pada penutupan dagangan, kontrak Januari 2025 meningkat RM139 kepada RM4,901 satu tan dan Februari 2025 meningkat RM112 kepada RM4,683 dan Mac 2025 melonjak RM109 kepada RM4,542

Sementara itu, kontrak April 2025 meningkat RM109 kepada RM4,412 satu tan, Mei 2025 naik RM108 kepada RM4,315 dan Jun 2025 menambah RM108 kepada RM4,249.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 48,992 lot daripada 116,508 lot sebelumnya manakala kepentingan terbuka susut kepada 241,663 kontrak daripada 244,206.

Harga MSM fizikal bagi Januari Selatan meningkat RM60 kepada RM4,960 satu tan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan