KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia rendah semasa mengakhiri sesi pagi ini berikutan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) yang rendah pada Disember dan prestasi Wall Street yang lemah.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 10.57 mata atau 0.64 peratus kepada 1,631.76 daripada 1,642.33 pada Selasa lepas.
Indeks pada mulanya dibuka rendah 1.01 mata kepada 1,641.32 dan bergerak daripada 1,631.13 kepada 1,641.32 pada sesi tersebut.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 505 berbanding 365 manakala 508 kaunter tidak berubah, 977 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 1.58 bilion unit bernilai RM871.99 juta.
Rakuten Trade Sdn Bhd yakin bahawa paras 1,700 mata akan dapat dilepasi pada separuh pertama 2025 dan menjangka indeks petunjuk pasaran akan berada dalam julat 1,645 hingga 1,655 hari ini.
“FBM KLCI mengekalkan trend meningkatnya untuk ditutup melebihi paras 1,640, meningkat 13 peratus tahun ke tahun.
“Bagaimanapun, ia masih jauh daripada sasaran kami pada 2024 sebanyak 1,750 berikutan aliran keluar asing yang tinggi pada suku keempat 2024,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, CelcomDigi naik tiga sen kepada RM3.65, MISC meningkat lima sen kepada RM7.65, IHH Healthcare dan SD Guthrie, masing-masing mendatar pada RM7.30 dan RM4.95 manakala Maybank merosot empat sen kepada RM10.20.
Public Bank berkurangan tiga sen kepada RM4.53, CIMB susut lapan sen kepada RM8.12 dan TNB turun 16 sen kepada RM14.78.
Daripada saham aktif, SNS Network naik 3.5 sen kepada 69.5 sen, Winstar Capital meningkat lima sen kepada 68.5 sen, Metronic menambah satu sen kepada dua sen dan Vanzo merosot setengah sen kepada 21 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 54.59 mata kepada 12,530.92, Indeks FBM Emas Shariah susut 44.98 mata kepada 12,545.59 dan Indeks FBMT 100 merosot 58.72 mata kepada 12,207.24.
Indeks FBM 70 berkurangan 15.0 mata kepada 18,823.13 manakala Indeks FBM ACE meningkat 49.12 mata kepada 5,429.56.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan berkurangan 19.21 mata kepada 7,629.85 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 2.12 mata kepada 174.33. Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 111.29 mata kepada 19,058.84 dan Indeks Tenaga naik 7.59 mata kepada 830.52.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial