Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Indeks petunjuk pasaran Bursa Malaysia mengakhiri hari dagangan pertama 2025 dengan ditutup rendah berikutan aktiviti mengambil untung susulan kenaikan pada dagangan akhir tahun awal minggu ini, sejajar dengan prestasi kebanyakan pasaran serantau.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 9.46 mata atau 0.58 peratus kepada 1,632.87 berbanding 1,642.33 pada Selasa.
Pasaran ditutup pada Rabu sempena cuti Tahun Baharu.
Indeks itu pada awalnya dibuka rendah turun 1.01 mata kepada 1,641.32 dan bergerak antara paras 1,629.23 dan 1,641.32 sepanjang hari dagangan.
Keseluruhan pasaran negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 580 berbanding 449, manakala 496 kaunter kekal tidak berubah, 830 tidak diniagakan dan 11 digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 2.64 bilion unit bernilai RM1.97 bilion daripada 2.41 bilion unit pada Selasa bernilai RM2.06 bilion.
Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, di tengah-tengah ketegangan geopolitik, trend mengelak risiko di Asia mencerminkan pendekatan berhati-hati peniaga ketika mereka mula mengagihkan semula aset bagi 2025.
Beliau menjangkakan indeks penanda aras tidak dapat mengekalkan tahap sokongannya pada 1,635 dan berada dalam fasa penstabilan sehingga pemangkin baharu timbul.
“Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI berada dalam jajaran 1,625-1,635 menjelang hujung minggu,” katanya kepada Bernama.
Rakan pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata FBM KLCI memulakan dagangan Tahun Baharu agak suram dipengaruhi oleh penurunan saham di China, yang memberi kesan kepada pengeksport utama seperti Malaysia susulan penurunan dalam sektor pembuatan.
Beliau berkata data yang mengecewakan itu menjejaskan peningkatan sebelumnya yang disokong oleh pengumuman data Indeks Pengurus Pembeli pembinaan dan perkhidmatan China yang lebih baik daripada jangkaan pada Jumaat minggu lepas.
“Dengan ramai pelabur utama antarabangsa yang masih belum kembali ke pasaran, dagangan dijangka terus kekal lengang sehingga 6 Jan,” katanya kepada Bernama.
Di pasaran utama serantau, indeks Nikkei 225 Jepun turun 0.96 peratus kepada 39,894.54, Indeks Komposit SSE China susut 2.66 peratus kepada 3,262.56, Indeks Hang Seng Hong Kong berkurangan 2.18 peratus kepada 132.03,62 manakala Indeks Straits Times Singapura menokok 0.16 peratus kepada 3,794.57.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, CelcomDigi dan SD Guthrie naik tiga sen masing-masing kepada RM3.65 dan RM4.98, Petronas Gas mengukuh 26 sen kepada RM17.94, MISC menokok dua sen kepada RM7.62, IHH Healthcare tidak berubah pada RM7.30, Maybank susut enam sen kepada RM10.18, Public Bank turun dua sen kepada RM4.54, CIMB jatuh tujuh sen kepada RM8.13 dan Tenaga Nasional berkurangan 18 sen kepada RM14.76.
Dalam kalangan saham cergas, Velocity Capital naik 1.5 sen kepada 6.5 sen, SNS Network meningkat empat sen kepada 70 sen, Winstar Capital menambah 7.5 sen kepada 71 sen, MYEG tidak berubah pada 96 sen dan Hubline turun setengah sen kepada lima sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 48.93 mata kepada 12,536.58, Indeks FBM Emas Shariah susut 40.79 mata kepada 12,549.78 dan Indeks FBMT 100 berkurangan 52.14 mata kepada 12,213.82.
Indeks FBM ACE meningkat 51.66 mata kepada 5,432.10 tetapi Indeks FBM 70 merosot 11.20 mata kepada 18,829.93.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 109.68 mata kepada 19,060.45, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 2.32 mata kepada 174.13, Indeks Perladangan berkurangan 25.63 mata kepada 7,623.43 manakala Indeks Tenaga meningkat 7.49 mata kepada 830.42.
Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 1.38 bilion unit bernilai RM1.73 bilion daripada 1.44 bilion unit bernilai RM1.89 bilion pada Selasa.
Jumlah dagangan waran meningkat kepada 804.29 juta unit bernilai RM74.81 juta berbanding 513.26 juta unit bernilai RM49.54 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE naik sedikit kepada 457.16 juta unit bernilai RM166.07 juta daripada 456.02 juta unit bernilai RM123.31 juta.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 193.54 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (318.24 juta), pembinaan (125.77 juta), teknologi (254.77 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (31.53 juta), hartanah (170.11 juta), perladangan (27.13 juta), REIT (22.70 juta), dana tertutup (150,600), tenaga (69.61 juta), penjagaan kesihatan (59.65 juta), telekomunikasi dan media (23.95 juta), pengangkutan dan logistik (47.21 juta), utiliti (33.91 juta), dan amanah perniagaan (71,300).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial